PN Selangor desak kerajaan tarik balik RUU PSB

SHAH ALAM – Seramai 21 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) Selangor mendesak kerajaan menghentikan segera cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang kini dibawa ke Parlimen.

Mereka mendakwa, RUU tersebut memberi kuasa terlalu besar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mengisytihar mana-mana kawasan sebagai pembaharuan semula bandar, sekali gus mencabul hak pemilikan rakyat yang dijamin Perlembagaan serta mengikis kuasa kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kami juga menolak keras cadangan menurunkan ambang persetujuan kepada hanya 75 peratus hingga 80 peratus dan had umur bangunan kepada 30 tahun sahaja untuk tujuan pembangunan semula kerana berisiko memaksa pemilik minoriti melepaskan rumah walaupun enggan.

"Pengamal undang-undang juga telah mengingatkan bahawa ambang rendah hanya akan melahirkan persetujuan yang dipaksa bukan yang sebenar," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Dalam pada itu mereka turut berpandangan, pelaksanaan PSB di Selangor boleh menghapuskan kuota Bumiputera dengan alasan 'sukar dijual', menghakis ekuiti hartanah bandar serta mempercepat gentrifikasi yang menghalau penduduk asal keluar dari bandar raya.

Sehubungan itu, PN Selangor mencabar Menteri Besar, kerajaan negeri dan agensi berkaitan termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk menyatakan pendirian jelas berhubung cadangan undang-undang tersebut.

"Sebagai kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap pembangunan perumahan rakyat, mereka tidak boleh berdiam diri dan jika benar berjuang untuk kepentingan rakyat khususnya pemilik rumah dan ekuiti Bumiputera di bandar, kerajaan negeri wajib menolak sekeras-kerasnya undang-undang yang jelas pro-pemaju ini.

"Sikap berdiam diri hanya menunjukkan kerajaan negeri bersekongkol dengan kerajaan Persekutuan dalam menggadaikan hak rakyat Selangor," katanya.

PN Selangor pada masa sama turut menuntut supaya RUU PSB dihentikan segera di Parlimen dan draf undang-undang tersebut dikaji semula dengan libat urus menyeluruh bersama rakyat, Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), badan bukan kerajaan (NGO) hak asasi, kerajaan negeri dan PBT.

Mereka turut menggesa ambang persetujuan dinaikkan ke 95 peratus, pampasan adil setara nilai pasaran disediakan, tribunal bebas ditubuhkan serta kuota Bumiputera terus dipertahankan.

"Kami tidak menolak pembangunan semula tetapi pembangunan mestilah adil, telus dan berpihak kepada rakyat.

"PSB dalam bentuknya hari ini adalah undang-undang pincang yang pro pemaju, anti rakyat dan tidak boleh diluluskan," menurut kenyataan itu.