Rafizi sindir ‘bisnes rasuah’ paling untung

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mempersoalkan trend kes-kes rasuah berprofil tinggi yang diselesaikan dengan pembayaran semula wang melalui kompaun.

Beliau merujuk kepada kes terbaharu membabitkan Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Adam Radlan Adam Muhammad yang dibebaskan daripada 12 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram setelah membayar kompaun berjumlah RM4.1 juta.

“Tuduhan rasuah tersebut membabitkan projek-projek di bawah Jana Wibawa yang kononnya bertujuan membantu kontraktor Bumiputera ketika pentadbiran Perikatan Nasional.

“Secara kasar, sekurang-kurangnya beliau dituduh telah menerima RM6.7 juta dan meminta suapan sekitar RM6 juta lagi. Namun, peguam Adam Radlan secara senyap menulis surat representasi untuk membayar kompaun RM4.1 juta bagi dibebaskan daripada semua tuduhan.

“Akhirnya bebaslah Adam Radlan. Ini ‘bisnes’ paling untung dituduh dapat RM6.7 juta, bayar balik RM4.1 juta, masih ada RM2.6 juta. Margin keuntungan 39 peratus tanpa perlu buat apa-apa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Pada 20 Ogos lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Adam Radlan daripada 12 pertuduhan rasuah serta pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa selepas beliau membayar kompaun RM4.1 juta.

Hakim Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh, memaklumkan kepada mahkamah bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima representasi Adam Radlan pada 3 Jun lalu, dan SPRM bersetuju menawarkan kompaun tersebut.

Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi turut membandingkan layanan terhadap kes berprofil tinggi dengan kesalahan kecil yang dilakukan rakyat biasa.

“Begitulah kisah di Malaysia. Kalau orang biasa mencuri susu, hukumannya penjara enam bulan. Tetapi kalau individu berprofil tinggi dituduh rasuah atau mencuri, asal bayar balik boleh lepas.

“Selepas ini, kalau ada rakyat biasa yang dituduh mencuri susu atau makanan asas, mohon maklumkan kepada saya. Saya akan cari peguam untuk buat permohonan yang sama pulangkan balik barang yang dicuri dan minta dibebaskan.

“Kita tengok sama ada pihak pendakwa raya dan mahkamah setuju atau tidak,” katanya.