Sanusi belum buat keputusan bertanding Naib Presiden Pas

SIK – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor belum membuat keputusan sama ada akan bertanding jawatan Naib Presiden Pas walaupun namanya sudah dicalonkan.

Menurut beliau, keputusan berhubung perkara itu hanya akan dibuat dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Kedudukan dalam parti saya tidak pernah kejar. Saya duduk di sini pun orang tua-tua yang lantik, tunjuk di mana saya patut duduk. Saya pun tahu diri saya tahap mana dan tidak rasa mahu memanjat hierarki yang lebih tinggi.

“Bagaimanapun saya perlu hormat juga kepada orang yang mencalonkan... tetapi mereka juga kena tahu sama ada saya sanggup atau tidak, itu kena tanya saya,” katanya selepas menghadiri Program Kebajikan dan Advokasi Perundangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah (JKMN) 2025 di sini pada Selasa.

**media[3250995]**

Dalam masa sama, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas itu menegaskan beliau tidak pernah mengejar kedudukan dan jawatan dalam parti, sebaliknya mempunyai pendirian tersendiri.

“Dalam Pas tidak ada perebutan jawatan, saya harap tradisi itu berkekalan sampai kiamat. Banyak parti di dunia rosak kerana perebutan itu – bila berebut mula menyogok, bila menyogok mula merasuah, bila merasuah mula mencuri, bila mencuri mula merosakkan negara.

“Bermula daripada rasa layak untuk duduk jawatan itulah... jadi perkara ini tidak boleh ada dalam Pas dan saya sendiri tidak mahu ia wujud dalam diri saya,” jelas beliau.

Sebelum ini, media melaporkan Pas Kawasan Alor Setar sebulat suara mencalonkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu sebagai Naib Presiden pada Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-46.

Usul pencalonan tersebut dikemukakan Dewan Pemuda Pas Kawasan Alor Setar dan menerima sokongan penuh daripada semua perwakilan yang hadir.

Yang Dipertua Pas Kawasan Alor Setar, Datuk Ahmad Yahaya berkata, pencalonan itu bertujuan mengukuhkan organisasi parti serta memperkasakan jentera pilihan raya sebagai persiapan menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat.

Terdahulu, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah dilaporkan sudah dua kali menolak untuk bertanding jawatan Naib Presiden Pas biarpun pernah dicalonkan sebelum ini.