KOTA MARUDU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan komitmennya untuk memperkukuh peranan politik di Sabah dengan memberi perhatian terhadap keperluan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman yang masih berdepan cabaran pembangunan.
Timbalan Presidennya, Nurul Izzah Anwar berkata, keutamaan PKR di Sabah adalah memperkukuh jaringan dengan masyarakat akar umbi bagi memastikan suara mereka lebih didengari di peringkat nasional.
"PKR akan terus mengangkat suara rakyat Sabah khususnya masyarakat pedalaman dan luar bandar agar tidak lagi terpinggir daripada arus pembangunan negara," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PKR Kawasan Bandau di sini pada Isnin.
Majlis tersebut dihadiri kira-kira 3,000 orang sekali gus mencerminkan sokongan padu rakyat terhadap PKR menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).
Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Sabah jelas dizahirkan melalui peningkatan peruntukan pembangunan kepada RM6.7 bilion tahun ini, selain pemberian khas Sabah sebanyak RM600 juta.
"Selain itu, kerajaan turut meluluskan projek Empangan Ulu Padas bernilai RM4 bilion bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Sabah," katanya.
Beliau menambah, pengurusan kewangan negara yang telus tanpa ketirisan dan rasuah membolehkan kerajaan berjimat, sekali gus mengembalikan hasil itu kepada rakyat melalui pelbagai bantuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Sementara itu, Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil menyeru rakyat agar bijak memilih pemimpin untuk tempoh lima tahun akan datang tanpa mengira latar parti sama ada nasional atau tempatan.
"Ini bukan soal parti nasional atau parti lokal, tetapi soal tanggungjawab, keadilan, kejujuran, idealisme serta hala tuju yang dibawa oleh pemimpin. Parti tidak salah, tetapi memilih pemimpin yang salah adalah kesilapan kita sendiri," tegasnya.