SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh meminta menteri atau DAP supaya membetulkan sebuah bendera Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik di sebuah premis perniagaan di ibu kota baru-baru ini.
Dr Muhamad Akmal dengan nada sindirian berkata, jika tugasan tersebut diserahkan kepada rakyat, terdapat kemungkinan mereka akan dikenakan tindakan atau didakwa oleh pihak tertentu.
“Minta tolong beritahu pak menteri atau DAP untuk turun dan betulkan sendiri bendera ini. Nanti kalau rakyat yang betulkan, kena dakwa pula.
“Kalau pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi hukuman, nanti ada golongan yang tidak berpuas hati pula minta tarik hukuman,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, sebuah video tular di media sosial memaparkan bendera Jalur Gemilang yang dipasang terbalik di sebuah premis perniagaan.
Ujar Dr Muhamad Akmal, bendera Jalur Gemilang sepatutnya menjadi simbol kebanggaan negara yang perlu dihormati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, kaum dan agama.
“Selagi tidak berkeras dan tiada hukuman kepada golongan yang kurang ajar ini, selagi itulah bendera ini tidak akan dihormati. Ini negara kita yang perlu dihormati,” katanya.