SHAH ALAM - Kenyataan angkuh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook terhadap MCA menggambarkan DAP kini sudah menjadi MCA 2.0.
Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, dakwaan 'DAP boleh berfungsi tanpa MCA' merupakan kali keempat Anthony menghina MCA secara terbuka.
"Anthony sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila dengan nada angkuh menyatakan bahawa 'DAP boleh berfungsi tanpa MCA'. Sebelum ini, beliau pernah berkata beliau 'tidak suka MCA', pernah menyindir 'tidak peduli dengan MCA' dan juga menyindir MCA dengan kata-kata 'jangan perasan'.
"Namun, ironinya, dalam setiap kenyataan angkuh Anthony terhadap MCA, beliau sebenarnya tidak sedar bahawa DAP sendiri sudah berubah menjadi MCA 2.0," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
**media[3249285]**
Sebelum ini, Anthony menegaskan DAP boleh berfungsi dan berkembang maju tanpa bergantung kepada MCA, sekali gus menolak sebarang tanggapan bahawa mereka memerlukan sokongan atau kerjasama parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.
Menurutnya, DAP tidak pernah menyatakan minat untuk bekerjasama dengan MCA, meskipun parti itu berulang kali menyatakan untuk menjauhkan diri daripada DAP.
Tambah Lian Ker, selama puluhan tahun, DAP mengejek MCA sebagai lemah, tunduk kepada UMNO dan tidak berani bersuara dalam kerajaan BN.
Ujarnya, DAP menjanjikan diri mereka berbeza, parti yang berani, lantang dan kononnya tidak tunduk kepada sesiapa.
"Tetapi hari ini, apa yang kita saksikan? Pilihan raya kerajaan tempatan dibekukan, pengiktirafan UEC, hilang entah ke mana. Janji reformasi institusi? Senyap sunyi.
"Lebih teruk, dalam isu-isu besar yang melibatkan rakan gabungan mereka, DAP memilih untuk berdiam diri. Jika MCA dahulu dikatakan tunduk kepada UMNO, maka DAP hari ini tunduk lebih rendah daripada itu," katanya.
Menurut Lian Ker, paling menyedihkan, DAP telah mengkhianati salah satu janji paling asas yang menjadi asas perjuangan mereka, keadilan untuk Teoh Beng Hock.
Ujarnya, Beng Hock yang meninggal dunia dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2009, menjadi simbol perjuangan menentang penindasan.
"DAP pernah berjanji untuk menuntut keadilan bagi keluarganya. Lim Kit Siang sendiri pernah meminta maaf secara terbuka kepada keluarga Beng Hock kerana kegagalan menunaikan janji ini.
"Persoalannya di mana Anthony ketika itu? Adakah permohonan maaf Kit Siang itu satu sindiran halus bahawa kepimpinan baharu DAP, khususnya Anthony, telah gagal mengangkat perjuangan asas parti itu sendiri?" soal beliau.
Katanya, Kit Siang dan Karpal Singh pernah dihormati kerana keberanian mereka berpegang pada prinsip.
Ujar beliau, mereka mungkin tidak sempurna, tetapi suara mereka mewakili idealisme dan integriti.
"Anthony? Beliau jauh sekali daripada aura dan prinsip Lim Kit Siang atau Karpal Singh. Jika mahu dibandingkan, beliau sebenarnya lebih mirip kepada Ling Liong Sik, bekas Presiden MCA yang sinonim dengan kompromi politik.
"Ironinya, Ling Liong Sik masih kelihatan lebih baik kerana sekurang-kurangnya beliau konsisten dengan pendiriannya, sedangkan Loke tampil dengan keangkuhan tetapi gagal menzahirkan keberanian politik yang dijanjikan DAP.
"Maka, apabila Anthony cuba menonjolkan diri sebagai pemimpin lantang dengan menghina MCA, beliau sebenarnya sedang menelanjangkan kelemahan sendiri. DAP di bawah pimpinannya sudah tidak lagi berani, tidak lagi lantang, dan sudah menjadi bayangan MCA 2.0," katanya.
Lian Ker berkata, DAP suatu masa dahulu melaungkan 'ubah' dan 'lawan tetap lawan', tetapi hari ini, di bawah kepimpinan Anthony, laungan itu bertukar menjadi 'kowtow' politik.
Ujarnya,mereka yang suatu ketika dahulu melaungkan idealisme kini tunduk demi kuasa.
"Mereka yang menjanjikan demokrasi tempatan kini menangguhkan janji itu. Mereka yang berikrar untuk menuntut keadilan Beng Hock kini meninggalkannya sebagai sejarah pahit yang tidak lagi disebut.
"Ironinya, MCA walaupun kecil dan dianggap tidak relevan, konsisten dengan pendiriannya. DAP pula, yang dahulu melaungkan diri sebagai pembawa harapan, kini telah berubah menjadi MCA versi baharu, tetapi dengan lebih keangkuhan dan lebih banyak kegagalan.
"Anthony mesti berhati-hati dengan kata-katanya. Masyarakat Cina bukan menunggu untuk mendengar hinaan terhadap MCA. Mereka menunggu untuk melihat DAP benar-benar berfungsi lebih baik daripada MCA. Sayangnya, di bawah kepimpinan Anthony Loke, apa yang mereka dapat hanyalah MCA 2.0 dengan retorik kosong," katanya.