IPOH – DAP tidak akan menggunakan dana kerajaan untuk membiayai sebarang program politik, kata Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook.
Beliau berkata, setiap sen daripada peruntukan kerajaan adalah hak rakyat dan mesti dimanfaatkan sepenuhnya bagi tujuan pembangunan negara, bukannya kegiatan parti.
“Walaupun DAP kini berada dalam kerajaan, apabila kita anjurkan majlis makan malam, ia tetap mendapat sambutan daripada penyokong yang sanggup membeli tiket. Itu tanda sokongan mereka kepada perjuangan parti.
“...kerana kita sentiasa mengasingkan antara parti dan kerajaan. Sumber kerajaan dan dana kerajaan adalah untuk rakyat, kita tidak guna untuk parti.
“Parti seharusnya bergerak dengan kekuatan dan sokongan akar umbi,” katanya ketika berucap dalam Jamuan Makan Malam DAP Perak di Pusat Konvensyen Ipoh pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta Pengarah Pilihan Raya DAP merangkap Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
Dalam majlis tersebut turut dilancarkan tabung kutipan dana DAP Perak.
Anthony yang juga Menteri Pengangkutan berkata, Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai misi jelas untuk memajukan ekonomi, memudahkan kehidupan rakyat serta memastikan masyarakat menikmati taraf hidup yang lebih baik.
“Ada banyak projek pembangunan yang masih perlu dilaksanakan. Terima kasih kerana terus memberikan sokongan kepada kepimpinan DAP dan Kerajaan Madani. Kita akan berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.
Sementara itu, Kor Ming menegaskan meskipun DAP kini menjadi sebahagian daripada kerajaan, parti tetap perlu menguruskan dana sendiri tanpa bergantung kepada sumber kerajaan.
“Ramai bertanya kenapa DAP masih mengutip dana walaupun sudah jadi kerajaan. Jawapannya mudah, parti tetap parti, kerajaan tetap kerajaan.
“Kita tidak boleh salah guna kuasa dan tidak boleh guna dana kerajaan untuk kegiatan parti. Inilah reformasi yang kita amalkan di bawah prinsip Kerajaan Madani,” katanya.
Pengerusi DAP Perak itu turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Perak khususnya penyokong DAP kerana berjaya mencatat kutipan dana tertinggi dalam sejarah parti negeri itu.
Beliau berkata, rekod terdahulu dicapai pada ceramah sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Jalan Laxamana, Ipoh dengan jumlah kutipan sebanyak RM133,000 menggunakan tin milo.
“Namun pada malam bersejarah ini, kita berjaya memecahkan rekod dengan jumlah kutipan sebanyak RM215,611. Syabas dan tahniah kepada semua yang menyumbang,” katanya.