Pas Selangor sokong serahan memorandum bantahan RUU PSB 2025

SHAH ALAM – Dewan Pemuda Pas Selangor menyatakan sokongan penuh terhadap serahan memorandum bantahan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 dijadual berlangsung di Parlimen, pada Selasa.

Ketua Pemudanya, Mohamed Sukri Omar berkata, pihaknya teguh dengan prinsip tidak menyokong RUU berkenaan yang dibacakan kali pertama oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, baru-baru ini.

Menurut beliau, bacaan kali kedua perlu ditangguhkan dan RUU itu diteliti semula kerana ia bukan sahaja dibantah pihak pembangkang, malah turut mendapat reaksi negatif daripada beberapa Ahli Parlimen blok kerajaan.

“Pas tidak menolak pembangunan, tetapi menolak dasar yang bersifat manipulatif dan merugikan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohamed Sukri berkata, Selangor sebagai negeri paling pesat membangun sudah tentu menjadi tumpuan rakyat mencari rezeki, namun tidak semua mampu memiliki rumah sendiri.

Tegasnya, majoriti rakyat yang tinggal di flat dan pangsapuri kos rendah di bandar utama seperti Subang, Ampang, Shah Alam dan Petaling Jaya hanyalah penyewa, bukan pemilik.

“RUU ini tidak menyediakan perlindungan kepada mereka, malah berisiko mengusir ribuan keluarga miskin bandar keluar dari penempatan mereka,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan nilai ambang persetujuan yang ditetapkan di bawah RUU itu adalah terlalu rendah iaitu 80 peratus untuk bangunan berusia bawah 30 tahun, 75 peratus bagi bangunan lebih 30 tahun dan 51 peratus bagi bangunan usang.

Menurutnya, ambang serendah itu akan membuka ruang pemaju menekan pemilik kecil yang enggan bersetuju selain memberi gambaran kerajaan lebih mengutamakan kepentingan pemaju berbanding isu rumah mampu milik.

“Ahli Parlimen daripada blok kerajaan sendiri turut mendesak agar nilai ambang dinaikkan kepada 85 peratus demi menjamin hak pemilik dan penyewa rumah kos rendah,” jelasnya.

Selain itu, Mohamed Sukri mendakwa RUU PSB 2025 bercanggah dengan beberapa undang-undang utama negara termasuk Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara, Akta Hakmilik Strata serta Akta Pengambilan Tanah.

“Antara perkara berbahaya adalah kuasa terlalu luas diberikan kepada Menteri sehingga melangkaui tugas Yang di-Pertuan Agong. Apa agenda sebenar yang dikehendaki Menteri DAP ini?” soalnya.

Sehubungan itu, Pemuda Pas Selangor mendesak agar RUU PSB 2025 dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) untuk penelitian khususnya berhubung isu nilai ambang persetujuan, hak penyewa dan kesan sosial.

“Selepas dikaji semula, dasar yang mahu diperkenalkan kelak mestilah menjamin hak rakyat terutama di Selangor, khususnya pemilik rumah kecil, penyewa kos rendah dan mempertahankan tanah rizab Melayu daripada dimanipulasi pemaju,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamed Sukri berkata, pihaknya akan menyerahkan memorandum bantahan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini sebelum turun bersama rakyat ke Parlimen esok (Selasa).

“Pas akan terus membela dan mempertahankan hak rakyat,” tegasnya.