'Jangan perasan DAP mahu jalin kerjasama dengan MCA' - Anthony

IPOH - DAP tidak pernah berhasrat mahu menjalin kerjasama politik dengan MCA seperti yang didakwa oleh sebahagian pemimpin parti berkenaan, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Menteri Pengangkutan itu berkata, kenyataan-kenyataan MCA yang menolak kerjasama dengan DAP adalah tidak berasas kerana DAP sendiri tidak pernah menyatakan hasrat sedemikian.

"Setiap hari MCA keluarkan kenyataan kata tak mahu bekerjasama dengan DAP. Saya nak tegaskan, kita pun tak pernah cakap nak bekerjasama dengan mereka.

"Jadi janganlah perasan sangat kononnya DAP ini mahu sangat kerjasama dengan MCA. Janganlah berfikir seolah-olah DAP tidak boleh hidup tanpa mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena Jamuan Makan Malam DAP Perak di Pusat Konvensyen Ipoh, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP merangkap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta Pengarah Pilihanraya DAP yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.

Anthony berkata, kerjasama yang dibentuk ketika ini adalah dalam kerangka Kerajaan Perpaduan yang mana rundingan dibuat bersama pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN).

Justeru katanya, soal pembahagian kerjasama dalam pilihan raya akan datang seharusnya ditentukan secara bersama oleh BN.

"Setakat ini yang saya tahu, pemimpin utama BN khususnya UMNO sudah pun memberikan komitmen jelas mahu memperkuatkan kerajaan ini. Tetapi sekarang, pemimpin MCA dan MIC pula suka buat kenyataan yang bercanggah.

"Mungkin mereka rasa tidak sebahagian daripada kerajaan ini, saya tidak pasti. Itu terpulang kepada mereka," katanya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Seremban itu menegaskan, fokus utama semua pemimpin DAP ketika ini adalah menunaikan tanggungjawab kepada rakyat, bukannya sibuk berpolitik menjelang pilihan raya.

"Sebagai menteri, timbalan menteri atau ahli Kabinet, kita kena pastikan dasar-dasar kerajaan berjalan dan projek pembangunan sampai kepada rakyat.

"Kita tak setiap hari bercakap soal pilihan raya. Kalau ahli politik asyik fikir soal parti masing-masing sahaja tanpa peduli rakyat, akhirnya rakyat akan menilai sendiri," katanya.

Sebelum ini, MCA dilapor menegaskan sukar untuk menerima kerjasama dengan DAP meskipun kedua-duanya berada dalam kerajaan yang sama.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, kenyataan itu dibuat susulan cadangan Ahli Parlimen Kampar daripada DAP, Chong Zhemin yang mahu MCA dibubarkan dan menyertai DAP.