KUALA LUMPUR - Pas Wilayah Persekutuan tegas menolak Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang didakwa bercanggah dengan kepentingan rakyat dan Perlembagaan Persekutuan.
Menurut kenyataan Pas Wilayah Persekutuan, pelaksanaan RUU tersebut bakal memberi kesan besar terhadap hak rakyat, kedudukan Raja-Raja Melayu serta pemilikan tanah, khususnya tanah rizab Melayu.
"Antara kebimbangan utama yang dibangkitkan Pas termasuklah rakyat berisiko dipaksa tanpa diberi hak membantah, kuasa Raja-Raja diketepikan, tanah rizab Melayu tidak mempunyai jaminan perlindungan, risiko gentrifikasi dan pengusiran tersusun, selain isu pampasan yang tidak jelas serta dikhuatiri memudaratkan rakyat.
“RUU PSB ini adalah bentuk penjajahan gaya baharu yang mengancam hak rakyat, kedaulatan tanah air dan kuasa Raja-Raja. Pas Wilayah Persekutuan menyeru seluruh rakyat bangkit menolak RUU PSB demi menjaga hak pemilikan, keadilan dan masa depan tanah air,” menurut kenyataan tersebut di laman Facebook rasmi parti itu.
Sebelum ini, RUU PSB yang dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat dilihat sebagai usaha kerajaan memperkenalkan kerangka undang-undang baharu bagi mempercepatkan pembangunan semula kawasan bandar lama dan usang.
Namun, beberapa pihak termasuk pakar perundangan, pertubuhan masyarakat sivil serta parti politik membangkitkan kebimbangan bahawa pelaksanaannya boleh membuka ruang kepada pemindahan paksa penduduk asal, kehilangan tanah milik tradisi dan penghakisan hak komuniti setempat.
Kerajaan sebelum ini memberi jaminan bahawa RUU berkenaan masih melalui proses libat urus dan pindaan, namun bantahan terus kedengaran termasuk daripada Pas yang menganggap ia akan mendatangkan implikasi besar kepada rakyat serta institusi Raja-Raja Melayu.