Haniff Khatri, Ridhuan Tee hangatkan Forum Perdana MN

KUALA SELANGOR – Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan penceramah bebas, Mohd Ridhuan Tee Abdullah bakal mengisi slot utama Forum Perdana anjuran Muafakat Nasional (MN) di Dewan Terbuka Sungai Gulang-Gulang, Tanjong Karang, di sini pada Sabtu malam.

Timbalan Presiden MN, Tan Sri Noh Omar berkata, kedua-dua tokoh itu dipilih kerana kepakaran mereka dalam bidang masing-masing selain diyakini mampu memberi pengisian bermakna sempena sambutan bulan kemerdekaan.

“Forum yang bakal berlangsung jam 8 malam itu bukan anjuran parti politik, sebaliknya oleh MN. Oleh sebab itu, penceramah yang diundang bukan ahli politik tetapi tokoh akademik serta profesional,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau menjelaskan, forum tersebut akan menyingkap kembali sejarah perjuangan orang Melayu dan proses pembentukan Perlembagaan negara.

Menurutnya, penganjuran kali pertama di Tanjong Karang itu juga terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman politik.

“Kita mahu semua orang bersama-sama mendengar kupasan daripada pakar dalam bidang undang-undang dan sejarah bagi menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan.

“Harapan kita supaya masyarakat, khususnya generasi muda, dapat menghayati kembali pengorbanan pejuang bangsa dan memahami bagaimana kemerdekaan ini dicapai,” tambah beliau.