SHAH ALAM – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kapar, Mohd Affifi Mohd Aris menggesa agar tindakan segera diambil terhadap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang didakwa membuat tuduhan tidak berasas terhadap Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Beliau berkata, tuduhan kononnya Muhamad Akmal mahu menaikkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Perdana Menteri jelas merupakan satu naratif palsu yang hanya merosakkan perpaduan parti.
“Asal buka mulut sahaja, bukannya mahu menyatupadukan parti tetapi terus memberikan naratif dongengan yang memecahbelahkan UMNO.
“Tindakan beliau ini tidak beradab dan sah menjadi ejen yang menyusup untuk melemahkan parti,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Mohd Affifi, Pemuda UMNO Kapar akan menghantar surat rasmi kepada Pejabat Setiausaha Agung UMNO bagi melaporkan sikap Lokman yang disifatkan tidak beretika serta tidak mencerminkan kualiti seorang pemimpin MKT.
“Kalau ada maruah, keluar sahaja daripada parti ini. Jangan jadi ketam mengajar anak berjalan,” jelas beliau.
Beliau turut mengajak ahli UMNO lain membuat laporan rasmi kepada Ibu Pejabat UMNO supaya tindakan disiplin dikenakan terhadap Lokman.
“Kalau manusia seperti ini kita simpan, ia bukan menguntungkan parti bahkan menyebabkan defisit keyakinan rakyat.
“Pilihan raya bukan hanya ditentukan ahli, sebaliknya rakyat Malaysia. Kita perlu nyahkan dia daripada parti sebelum menjadi barah tahap akhir,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Mohd Affifi turut memuat naik surat aduan berkenaan di Facebook yang dihantar kepada Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO bertarikh 22 Ogos.
Dalam surat yang ditandatangani Mohd Affifi itu, beliau menegaskan bahawa tindakan Lokman jelas melanggar Perlembagaan UMNO, Fasal 20.9(f) dan 20.9(g) kerana berunsur fitnah serta menjejaskan nama baik parti.
“Berdasarkan sebuah video tular ketika temu bual Lokman, beliau secara sengaja menggelar Muhamad Akmal sebagai 'Ketua Pemuda H2O' dan menuduh mempunyai agenda tersembunyi untuk menaikkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Perdana Menteri.
“Tuduhan ini bukan sahaja fitnah, malah berniat memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan kepimpinan parti,” katanya.
Menerusi surat itu juga dinyatakan bahawa tindakan Lokman telah mencemarkan imej seorang Ahli MKT, merendahkan maruah kepimpinan Pemuda UMNO serta menanam persepsi negatif terhadap pucuk pimpinan parti.
“Tindakan biadab dan tidak bertanggungjawab ini membelakangi semangat solidariti sesama ahli UMNO dan secara langsung menimbulkan defisit kepercayaan akar umbi terhadap kewibawaan MKT sendiri,” katanya.
Menurut Mohd Affifi, perbuatan itu juga menimbulkan polemik baharu yang merugikan parti, khususnya ketika UMNO sepatutnya memperkukuh kekuatan serta menyusun strategi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16.
“Sehubungan itu, Pemuda UMNO Kapar mendesak agar Lembaga Disiplin Parti mengambil tindakan tegas di bawah Fasal 20.10 Perlembagaan UMNO.
“Tindakan keras wajar dikenakan agar menjadi pengajaran kepada mana-mana ahli yang bertindak sesuka hati, melanggar tataetika serta merosakkan imej UMNO di mata rakyat,” katanya menerusi surat berkenaan.
Terdahulu, Lokman dalam temu bual tersebut menyatakan bahawa Muhamad Akmal tidak berfungsi sebagai Ketua Pemuda UMNO, sebaliknya sebagai Ketua Pemuda Hishammuddin.