BUTTERWORTH – Tindakan sayap Pemuda DAP (DAPSY) yang berterusan mempertahankan individu terlibat dalam kesalahan membabitkan Jalur Gemilang disifatkan sebagai sesuatu yang amat memalukan.
Setiausaha Parti Bersepakat Untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Satees Muniandy berkata, sikap itu hanya menimbulkan keresahan rakyat Malaysia terutama menjelang sambutan Hari Kebangsaan tidak lama lagi.
Beliau turut mempersoalkan apakah niat sebenar DAPSY apabila membidas pihak berkuasa dan mengkritik sesiapa sahaja yang menegur pelaku.
“Mengapa mereka bersungguh-sungguh mempertahankan tindakan tersebut sehingga mahu menjadikan insiden bendera terbalik sebagai perkara biasa?
“Adakah ini mesej yang cuba mereka sampaikan kepada rakyat Malaysia pada bulan kemerdekaan ini?” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, Ketua Pemuda DAPSY kini merupakan seorang ahli Exco di Perak, malah ramai pemegang jawatan dalam sayap itu turut berada dalam kerajaan.
Namun katanya, mereka masih memilih untuk mempertahankan pelaku kesalahan bendera.
“Adakah kerana pelaku datang daripada kaum tertentu? Jika ya, mengapa perlu mempertahankan tindakan individu yang jelas menyinggung perasaan rakyat tanpa mengira kaum?” soalnya lagi.
Satees berkata, setiap individu yang terlibat dalam kesalahan bendera, sama ada dengan sengaja atau tidak, tetap perlu bertanggungjawab terhadap perbuatan mereka kerana kejahilan bukan alasan di sisi undang-undang.
Beliau menambah, seharusnya ramai peguam dalam DAP mampu memberi kefahaman kepada DAPSY mengenai perkara asas itu.
“Di negara seperti India, penghinaan terhadap bendera kebangsaan, sama ada sengaja atau tidak, boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun.
“Tetapi di Malaysia, kita masih berdebat sama ada pelaku benar-benar tersilap atau sebaliknya,” jelasnya.
Tegasnya, jika DAPSY benar-benar menganggap kesalahan bendera ini sebagai isu remeh, mereka seharusnya melepaskan jawatan dalam kerajaan yang sedang disandang.
“Pembelaan berterusan mereka terhadap kesalahan bendera mesti dihentikan sekarang demi mengelakkan rakyat terus dibebani dengan perdebatan yang tidak berkesudahan,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) mengarahkan sebuah klinik gigi swasta ditutup 30 hari kerana kesalahan memasang bendera secara terbalik.
Tindakan itu diambil selepas pemeriksaan mendapati premis berkenaan melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan MDP 2019, iaitu berhubung kewajipan pengibaran bendera.
Bagaimanapun, Majlis Eksekutif Kebangsaan DAPSY dalam satu kenyataan pada Jumaat menyifatkan arahan penutupan selama 30 hari itu sebagai keterlaluan dan tidak setimpal dengan kesalahan.