SEREMBAN – Pemuda UMNO Negeri Sembilan berharap pucuk pimpinan parti itu dapat menyatakan sokongan terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang bersungguh-sungguh mempertahankan Jalur Gemilang.
Setiausahanya, Suhaimizan Bizar berkata, perkara itu adalah selaras dengan Fasal 3 Perlembagaan parti sekali gus memastikan kesilapan dalam pemasangan Jalur Gemilang tidak berulang.
Menurutnya, pihaknya telah meneliti kronologi isu pemasangan bendera terbalik dan berpendirian bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu hanya mengecam perbuatan individu yang bertanggungjawab terhadap insiden tersebut.
“Beliau tidak pernah memulakan serangan terhadap mana-mana parti politik dalam sebarang kenyataan yang dikeluarkan.
“Justeru, kesemua lapan Ketua Pemuda UMNO Bahagian bersama Jawatankuasa Pemuda UMNO Negeri Sembilan menyatakan sokongan penuh terhadap Dr Akmal atas tindakan beliau mempertahankan Jalur Gemilang, dan kita berharap pucuk pimpinan parti turut menyatakan sokongan yang sama,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Kenyataan itu merupakan ketetapan yang diputuskan Pemuda UMNO Negeri Sembilan dalam Mesyuarat Jawatankuasa yang diadakan pada 19 Ogos lalu.
Ujarnya, Pemuda UMNO Negeri Sembilan turut berpendapat bahawa pendakwaan perlu dibuat terhadap pesalah yang jelas memasang bendera secara terbalik agar menjadi pengajaran kepada semua pihak.
“Perlu juga dikemas kini akta yang lebih tegas dan keras supaya semua rakyat patuh serta menghormati Perlembagaan negara dan Jalur Gemilang, termasuk hukuman maksimum melucutkan taraf kewarganegaraan.
“Parti-parti politik lain termasuk Perikatan Nasional diingatkan agar tidak mengambil kesempatan terhadap isu yang sedang berlaku seperti ‘menangguk di air yang keruh’ untuk memecahbelahkan kesatuan dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Selain itu, katanya, Pemuda UMNO negeri juga berpendirian bahawa Titah Adendum terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak tidak perlu dirujuk kepada Mahkamah Tinggi dan memohon agar kerajaan melaksanakannya serta-merta.
“Pemuda UMNO Negeri Sembilan sentiasa patuh kepada pucuk pimpinan parti dalam apa sahaja keputusan parti.
“Kita juga menegaskan supaya ahli-ahli UMNO tidak berpecah-belah, khususnya dalam semangat menyambut Hari Kebangsaan ke-68,” katanya.