Perjuang isu kalimah ALLAH, bendera terbalik bukan raih sokongan politik - Akmal Saleh

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan tindakannya memperjuangkan isu kalimah ALLAH dan bendera terbalik bukan untuk meraih sokongan politik.

Beliau berkata, sebaliknya perjuangan itu dilakukan kerana mempunyai rasa kebertanggungjawaban.

"Kami perjuangkan bukan soal untuk meraih sokongan politik, bukan juga untuk ganjaran apa lagi untuk meraih nama.

"Kami perjuangkan atas sebab tanggungjawab," katanya menerusi laman Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, Muhamad Akmal menggesa ahli Parlimen sama ada di blok kerajaan atau pembangkang supaya segera mengemukakan usul di Parlimen untuk menggubal undang-undang atau akta bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap individu yang memasang serta mengibarkan bendera negara secara terbalik.

Gesaan itu dibuat bagi mengelak insiden Jalur Gemilang dipasang atau dikibar secara terbalik terus berulang pada masa akan datang.

Tambah Muhamad Akmal, tidak dinafikan ramai mampu bercakap,tetapi sukar untuk dilaksanakan.

"Tapi kami lakukan demi agama, bangsa dan tanah air, jelasnya.