PETALING JAYA - Jurang ekonomi yang semakin melebar antara golongan kaya dan miskin disifatkan sebagai cabaran terbesar yang sedang dihadapi oleh Malaysia, kata Pengarah Jabatan Komunikasi Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Na’im Brundage.
Merujuk kepada laporan Bank Dunia, beliau menjelaskan bahawa 10 peratus isi rumah terkaya di Malaysia kini menguasai kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan kekayaan negara.
“Berdasarkan Gini Coefficient Index, yang mengukur tahap ketidaksamarataan ekonomi, Malaysia berada di tempat ketiga paling tinggi dari segi jurang pendapatan antara kaya dan miskin di ASEAN, di belakang Thailand dan Filipina.
"Ini adalah sesuatu yang membimbangkan dan hanya akan bertambah teruk dengan keputusan kerajaan hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Terbuka yang turut menampilkan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin.
Dialog itu dihadiri pelbagai lapisan masyarakat yang mengambil peluang untuk mengajukan soalan terus kepada para panelis.
Na’im turut mengkritik dasar-dasar kerajaan yang menurutnya tidak membantu merapatkan jurang ekonomi, malah berisiko memperburukkan keadaan.
“Kerajaan telah memperluaskan dan menambah cukai yang dikenakan kepada semua rakyat tanpa mengira tahap sosioekonomi," katanya.
Pada masa yang sama, katanya, bantuan seperti RM100 diagihkan kepada semua rakyat termasuk golongan kaya.
"Dasar-dasar ini tidak membantu mengurangkan jurang ekonomi, tetapi menambah kepada permasalahan yang sedia ada,” ujarnya.