Amanah tekankan peranan wanita dalam rundingan kerusi PRN Sabah - AWAN

KOTA BHARU - Parti Amanah Negara (Amanah) menekankan peranan wanita dalam rundingan kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Naib Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN), Dr Hafidzah Mustakim berkata, Ketua AWAN, Datuk Aiman Athirah Sabu berada di barisan hadapan dalam rundingan kerusi Amanah negeri itu yang juga bagi memastikan calon wanita dan rakyat tempatan diberi peluang menyumbang dalam proses demokrasi.

“Walaupun keputusan muktamad rundingan kerusi ditentukan pucuk pimpinan parti, kami di peringkat AWAN sentiasa memastikan suara wanita didengar dan mereka diberikan ruang yang wajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena program Kembara Merdeka Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, Amanah dilaporkan berhasrat untuk bertanding sekurang-kurangnya lima kerusi DUN dalam PRN17 itu.

Bagaimanapun kerusi-kerusi yang disasarkan itu belum dimuktamadkan kerana rundingan bersama Pakatan Harapan (PH) masih berjalan.

Dr Hafidzah menekankan bahawa peranan AWAN juga merangkumi pendidikan politik kepada masyarakat, penyertaan aktif pemimpin wanita dalam aktiviti parti serta memastikan integrasi nasional dan perpaduan Madani menjadi teras penglibatan Amanah dalam PRN Sabah.

Bagi rundingan kerusi, beliau menjelaskan bahawa keputusan muktamad berada di tangan pucuk pimpinan.

“Walaupun nama calon sudah dicadangkan, perkara itu masih menunggu pengesahan rasmi sebelum diumumkan.

“Amanah sentiasa bekerjasama dengan semua pihak dalam PH bagi memastikan proses demokrasi berjalan lancar dan inklusif,” katanya.