'Saya bukanlah tak ada hati perut pentingkan politik dalam keadaan sekarang' - Rafizi

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan beliau tidak akan membiarkan ugutan dan serangan terhadap keluarganya mematahkan semangat atau menghentikan tugasnya sebagai wakil rakyat.

Rafizi berkata, ada pihak yang menasihatkan supaya berehat seketika selepas kejadian serangan jarum terhadap anaknya, namun menegaskan bahawa hidup dan tanggungjawab tidak boleh dihentikan.

Menurutnya, tindakan berehat atau menghentikan rutin hanya akan memenuhi tujuan pihak yang cuba menakut-nakutkannya.

“Saya bukanlah tidak ada hati perut atau pentingkan politik dalam keadaan sekarang, tetapi matlamat ugutan terhadap keluarga saya ialah supaya saya putus asa dan duduk diam.

“Kalau saya tidak meneruskan rutin dan tanggungjawab seperti biasa, maka tercapailah matlamat mereka itu,” katanya menerusi hantaran sebuah video di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi percaya serangan terhadap anaknya mempunyai kaitan dengan pertemuannya bersama sekumpulan pemberi maklumat (whistleblower) mengenai satu skandal kewangan.

Beliau berkata, tindakan tersebut juga merupakan amaran dan usaha untuk menutup mulutnya daripada terus membongkar perkara berkenaan.

Malah, ketika ditanya sama ada skandal itu mempunyai kaitan dengan mana-mana ahli politik, Rafizi menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan lanjut.

Rafizi turut memaklumkan akan tampil dalam podcast Yang Bakar Menteri (YBM) malam ini bersama dua tetamu iaitu Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, dan aktivis pendidikan, Victor.

Antara topik yang bakal dibincangkan termasuk insiden serangan terhadap keluarganya, ancaman budaya buli, dan isu-isu pendidikan.

Beliau juga memaklumkan akan meneruskan program Kaunter Bergerak di Pasar Pagi Taman Muda pada keesokan harinya bagi bertemu penduduk Pandan seperti biasa.

Terdahulu, dalam kejadian pada Rabu lalu, serangan berlaku ketika anak dan isteri Rafizi baru memasuki kereta untuk beredar dari sebuah pusat beli-belah di Putrajaya sebelum anaknya ditarik secara tiba-tiba serta dicucuk dengan jarum suntikan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2 petang di kawasan mengambil dan menurunkan penumpang di pusat beli-belah berkenaan.