KOTA BHARU - Pas menegaskan parti itu tidak pernah mengongkong tok guru pondok dalam menyuarakan pandangan, sebaliknya sentiasa menghormati sebarang keputusan yang dibuat golongan berkenaan.
Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Mohd Asri Mat Daud berkata, tok guru pondok merupakan golongan yang dihormati masyarakat dan tidak menghairankan jika mana-mana kerajaan termasuk yang bersifat sekular turut mendekati mereka.
“Siapa sahaja yang menjadi kerajaan pasti akan mendekati tok guru pondok dan mengadakan program bersama mereka kerana golongan ini sangat dihormati masyarakat.
“Jadi, jangan pelik kalau kerajaan mendekati tok guru pondok kerana itu memang pendekatan semua kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Menurut beliau, Pas sama ada di peringkat parti mahupun kerajaan negeri sentiasa menghormati ijtihad serta keputusan tok guru pondok termasuk jika mereka memilih untuk berjumpa dengan mana-mana pimpinan pembangkang atau kerajaan Persekutuan.
“Pas tetap menyokong tok guru pondok dan menghormati pandangan mereka dalam apa jua perkara, tanpa sebarang paksaan,” tegasnya.
Mohd Asri turut menyatakan bahawa tok guru pondok memiliki prinsip dan mekanisme tersendiri dalam membuat keputusan menjelang pilihan raya, termasuk melalui perbincangan dalam kalangan jemaah atau persatuan mereka.
“Kita yakin mereka mempunyai pendirian yang jelas,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah, menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menzahirkan hasrat untuk terus bersama Kerajaan MADANI.
“Semua rintangan dan cabaran yang berlaku di negara ini dapat diselamatkan. Malaysia diselamatkan, kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri dapat diselamatkan,” katanya.