KUALA LUMPUR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengecam tindakan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang didakwa menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta dua pemimpin negara ASEAN lain dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Naib Ketua AMK, Nabil Halimi menyifatkan tindakan Ahmad Fadhli sebagai keangkuhan dan keegoan melampau yang telah mencemarkan nama baik negara di mata dunia.
“Saya berasa kesal akan keegoan dan kesombongan Ahmad Fadhli yang enggan memohon maaf atas tindakannya yang menghina Perdana Menteri bersama dua pemimpin Thailand dan Kemboja sebagai binatang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, perbuatan tersebut bukan sahaja menyerang peribadi Perdana Menteri, malah turut dianggap sebagai penghinaan terhadap seluruh kakitangan awam di Wisma Putra yang bekerja keras menjayakan misi rundingan damai antara Kemboja dan Thailand.
“Beliau seharusnya sedar bahawa kenyataannya itu adalah satu bentuk pengkhianatan kepada negara dan sewajarnya dikenakan tindakan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Jelas beliau, Perdana Menteri dalam isu berkenaan bertindak atas kapasiti sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam memfasilitasi usaha rundingan damai dua negara berjiran itu.
“Segala penghinaan terhadap usaha ini adalah penghinaan terhadap negara dan bertentangan dengan semangat patriotisme,” ujar beliau lagi.
Dalam kenyataan itu, Nabil turut menzahirkan penghargaan kepada beberapa pimpinan pembangkang seperti Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang bersikap terbuka dan memberi pujian terhadap usaha Anwar biarpun sering mengkritik pentadbiran kerajaan.
“Langkah beliau menunjukkan kematangan dalam berpolitik dan harus dijadikan contoh kepada semua,” tambahnya.
Sehubungan itu, Nabil menggesa seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik supaya bersatu dan mendesak Ahmad Fadhli agar membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia, kerajaan Kemboja dan Thailand.
“Rakyat tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan maruah negara di persada antarabangsa demi kepentingan politik sempit,” katanya.
Sebelum ini, tular kenyataan Ahmad Fadhli yang didakwa mengaitkan pemimpin tiga negara sebagai haiwan, susulan pertemuan tiga hala yang dimediasi oleh Malaysia bagi menangani ketegangan di sempadan Thailand-Kemboja.