Satira karikatur haiwan: Pemuda Amanah NS cadang tarik kerakyatan Ahmad Fadhli

SEREMBAN - Pemuda Amanah Negeri Sembilan mencadangkan supaya taraf kerakyatan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari ditarik susulan tindakannya yang memperlekehkan usaha Perdana Menteri mendamaikan konflik bersenjata antara Thailand dan Kemboja.

Ketua Pemuda Amanah Negeri Sembilan, Mohd Hanis Alimin berkata, sebagai seorang pemimpin daripada parti yang membawa imej Islam, tidak sepatutnya beliau bersikap sedemikian.

"Di mana sifat kemanusiaan dia? Dia membawa imej Islam dan ahli Parlimen sedangkan ramai terbunuh disebabkan konflik itu yang majoritinya adalah orang awam yang tidak berdosa.

"Kalaulah dunia percaya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan konflik ini, kenapa dia memperlekehkan dan menyamakan usaha ini sebagai usaha binatang?" katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan polis terhadap Ahmad Fadhli di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban pada Rabu.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Negeri Sembilan, Zainal Lufti Zainal Fitry pula berkata, tindakan Ahmad Fadhli yang memuat naik lukisan kartun berunsur sindiran terhadap usaha Perdana Menteri itu dibimbangi boleh menjejaskan hubungan diplomatik Malaysia dengan kedua-dua negara jiran itu.

Ujar beliau, Ahmad Fadhli sepatutnya berbangga dengan peranan Perdana Menteri dalam usaha perdamaian berkenaan.

"Kita sepatutnya berasa bangga apabila Perdana Menteri diberi kepercayaan menyelesaikan konflik peperangan antara dua negara jiran yang dekat dengan kita.

"Tapi sebaliknya Ahmad Fadhli yang berstatus Ahli Parlimen pula memperlekehkan usaha tersebut dengan memuat naik lukisan kartun haiwan di media sosial seolah-olah Malaysia mendamaikan konflik antara binatang.

"Kita risau tindakannya itu boleh menjejaskan Malaysia atau mungkin menjadi isu diplomatik," katanya.

Sehubungan itu, ujarnya, Pemuda Amanah Negeri Sembilan berharap tindakan undang-undang dapat dikenakan terhadap Ahli Parlimen terbabit.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Mas itu memuat naik gambaran tiga watak haiwan iaitu kambing dan biri-biri yang sedang berebut pisang sementara monyet sebagai hakim di media sosialnya.

Dalam hantaran tersebut, beliau menyatakan bahawa kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang, serta turut meletakkan artikel berhubung pergolakan Thailand-Kemboja di sebelah gambar berkenaan.

Bagaimanapun beliau telah pun memadamkan hantaran berkenaan.