KOTA KINABALU - Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyangkal dakwaan bahawa keputusan meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang semakin hampir dibuat secara sebelah pihak.
Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelaskan bahawa keputusan tersebut telah dicapai menerusi perbincangan bersama parti-parti komponen dalam gabungan itu.
"Tidak, kami sudah buat perbincangan dalam GRS bersama presiden parti. Jadi apa orang cakap jangan terlampau kamu dengar. Terlampau berpolitik di Sabah ini terlampau banyak," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis menandatangan dua memorandum persefahaman (MoU) antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama dua syarikat di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan yang dibuat semasa Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada Ahad lalu, berkaitan kerjasama politik antara GRS dan PH menjelang PRN17.
Sebelum ini, akar umbi GRS menyatakan hasrat agar gabungan tersebut bertanding secara solo dalam PRN kali ini, tanpa bergantung kepada kerjasama dengan parti-parti nasional.
Dalam perkembangan sama, ketika ditanya mengenai tarikh mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS, Hajiji memaklumkan bahawa perkara itu akan diumumkan kelak.
"Saya akan panggil nanti, saya tidak boleh maklumkan tarikhnya sekarang," katanya ringkas.
Sementara itu, mengulas hasil mesyuarat dalam lawatan kerja bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Jakarta, Indonesia baru-baru ini, Hajiji menyifatkan pertemuan tersebut sebagai amat positif.
"Kita telahpun menyatakan pendirian kerajaan negeri dan perbincangan mesyuarat itu amat positif sekali, jadi, sekarang sedang diperhalusi lagi perkara-perkara yang berkaitan dan ia amat baik untuk negeri Sabah, itu saja yang saya boleh nyatakan," katanya,
Bagaimanapun, beliau berharap isu Ambalat tidak dijadikan bahan politik, memandangkan perkara tersebut dibincangkan berdasarkan kerangka undang-undang antarabangsa.
"Untuk perbincangan isu Ambalat, itu belum lagi, itu dibincangkan berdasarkan undang-undang antarabangsa. Jadi belum ada apa-apa lagi (perkembangan), jangan dijadikan isu politik di sini," tegasnya.