RAUB - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bahawa dalam landskap politik hari ini yang penuh dengan cabaran, keputusan yang diambil oleh parti demi menjamin kestabilan dan masa depan negara, meskipun keputusan itu mungkin tidak popular.
Menjelaskan perkara itu ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Raub beliau berkata, dalam perjuangan, tidak semua keputusan yang diambil itu bersifat selesa tetapi ia mestilah berprinsip.
"Setinggi mana pun kedudukan kita dalam parti atau kerajaan, kita harus sedar bahawa setiap jawatan itu amanah yang wajib dipikul dengan penuh tanggungjawab,” katanya di sini pada Ahad.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Timbalan Perdana Menteri berkata apa yang diperlukan UMNO ketika ini ialah kesatuan hati dan semangat perjuangan yang tinggi serta tidak mudah goyah apabila diuji.
Beliau turut mengingatkan ahli parti supaya menjadikan kekalahan UMNO dan BN membentuk kerajaan dalam dua pilihan raya umum (PRU) sebelum ini sebagai pengajaran serta titik tolak untuk membina semula kekuatan parti.
"Kita sudah diuji dua kali dalam PRU...cukuplah kita berpecah, bergaduh, ‘tembak sama sendiri’, ada duri dalam daging. Belajarlah daripada kelemahan dahulu betulkan ‘rumah tangga’ UMNO dan Barisan Nasional… mudah-mudahan kita akan dominan semula,” katanya.
Pada sidang media kemudiannya Ahmad Zahid berkata, UMNO akan meneliti sama ada terdapat ahli parti yang menyertai perhimpunan yang berlangsung di Kuala Lumpur, semalam.
"UMNO sekarang berada dalam Kerajaan Madani dan kita harus mengukuh bukan meruntuh kerajaan yang ada sekarang,” katanya. - Bernama