SHAH ALAM – UMNO Bahagian Shah Alam menyatakan komitmen untuk bertanding sekurang-kurangnya satu kerusi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.
Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shari berkata, walaupun sebelum ini parti tidak diberikan sebarang kerusi dalam Kerajaan Perpaduan, pihaknya tetap menghormati keputusan pucuk pimpinan dan tidak mempertikaikannya.
“Pertama sekali, dulu kita ada kerusi, tapi kita kalah. Baru-baru ini pula bila berada dalam Kerajaan Perpaduan, kita tak ada kerusi sebab kita menghormati keputusan pucuk pimpinan parti.
“Tapi itu tak bermakna kita akan berdiam diri. Kita akan terus perjuangkan sekurang-kurangnya satu kerusi untuk PRU akan datang,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan UMNO Bahagian Shah Alam di Bangunan Kumpulan Muara, di sini pada Ahad.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Mengulas lanjut, Azhari berkata, UMNO Shah Alam sentiasa membina pasukan mantap dan bekerja secara berpasukan, namun rezeki belum menyebelahi mereka setakat ini.
“Saya yakin kita sedang bina pasukan yang lebih hebat dan bersedia jika diberi peluang untuk bertanding.
“Gabungan dalam Kerajaan Perpaduan turut menyatukan kekuatan antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH). PH ada kekuatan mereka, kita juga ada kekuatan kita. Jika bergabung, saya yakin kerusi itu dapat kita pertahankan,” ujarnya.
Menurutnya, barisan kepimpinan UMNO Bahagian Shah Alam hari ini dibarisi majoriti muka baharu dan golongan muda.
“Sebahagian besar barisan saya adalah orang muda. Kita memang dalam proses membimbing bakat-bakat muda untuk diketengahkan dalam kepimpinan tertinggi bahagian.
“Kita mahu beri ruang kepada pandangan dan suara anak muda dalam hala tuju parti,” ujarnya.
Tambahnya, UMNO Shah Alam tidak meletakkan sasaran khusus untuk kerusi DUN atau Parlimen, sebaliknya terbuka kepada mana-mana satu kerusi yang diberikan.
Azhari berkata, dalam mesyuarat kali ini, UMNO Bahagian Shah Alam turut membawa dua usul utama iaitu memperjuangkan satu kerusi untuk bertanding serta cadangan usul Adendum.