KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan sudah tiba masanya perjuangan politik negeri ini berpaksikan kepimpinan yang dipacu dari dalam negeri sendiri, bukannya bergantung kepada kuasa luar.
Beliau menyeru agar azam dan iltizam yang dilaungkan selama ini diterjemahkan dengan semangat serta tekad yang suci, sambil mengajak semua pihak meniupkan semboyan perjuangan menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang semakin hampir.
“Kalau bukan sekarang, bila lagi...Kalau bukan kita, siapa lagi. Ini kalilah, Sabah tanah airku. Master is here, master is not there,” katanya dalam ucapan dasar pada Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Ahad.
Dalam ucapannya, Hajiji turut menekankan kepentingan GRS sebagai gabungan parti tempatan yang kukuh dalam memenuhi aspirasi rakyat Sabah yang mahu politik negeri diterajui oleh entiti tempatan.
“Sesungguhnya kekuatan kita dalam GRS menjadi antara pra-syarat utama yang boleh membawa kepada kemenangan dan kejayaan besar dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
“Lebih daripada itu, kesatuan dan kekuatan GRS juga merupakan jaminan kepada parti berteraskan tempatan ini untuk terus mengepalai dan menguasai pentadbiran negeri – seperti mana realitinya pada hari ini dan insya-ALLAH, untuk beberapa dekad yang akan datang.
“GRS yang dibina atas manifestasi aspirasi akar umbi akan terus menyemarakkan politik akomodasi yang matang dan inklusif, dengan meraikan kepelbagaian, menjunjung nilai muafakat serta mengutamakan kestabilan dan kemajuan negeri,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap perpaduan dan sokongan semua parti komponen GRS, khususnya PBS dan STAR, yang disifatkan sebagai tonggak kekuatan gabungan tersebut.
“PBS dan STAR bukan sahaja sumber kekuatan GRS, malah merupakan rakan seperjuangan yang sentiasa berada di sisi memberikan sokongan, pandangan dan nasihat, sesuai dengan peranan dan fungsi mereka sebagai anggota dalam pentadbiran kerajaan GRS-PH,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hajiji turut menzahirkan penghargaan kepada parti komponen GRS yang lain iaitu Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).