Pemimpin besar kerajaan terdahulu tidak suka blok Borneo - Hajiji

KOTA KINABALU – Sikap pemimpin kerajaan terdahulu yang tidak gemar dengan blok Borneo menjadi antara faktor yang mendorong Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengambil keputusan menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut menegaskan bahawa Sabah perlu diterajui oleh pimpinan parti tempatan. Justeru, pilihan raya akan datang amat penting sebagai penentu kepada usaha menerajui negeri ini mengikut acuan sendiri.

"Ini negeri kita, kitalah yang mencorakkan masa depan negeri Sabah, Negeri di Bawah Bayu ini. 'Master is here'. Ini negeri kita, kitalah yang mencorak masa depan negeri kita, bukannya mereka yang datang dari sana memandai-mandai mengatur kita.

"Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman saya bersama Datuk Seri Masidi Manjun dan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan ketika berjumpa seorang 'pemimpin besar' di sana suatu masa dahulu. Orang itu menyatakan bahawa mereka ialah 'master'. Dia tidak suka dengan blok Borneo, dia tidak mahu kita berkongsi pengalaman dan cerita dengan negeri jiran kita, Sarawak.

"Saya amat terkejut dengan kata-katanya. Lama saya berfikir, apa erti dan niat beliau menyatakan demikian. Fikir punya fikir, terus tawar hati saya kepada mereka. Akhirnya, setelah berfikir panjang, saya membuat keputusan membawa GRS menyokong Kerajaan Perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Persidangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Ahad.

Bagaimanapun, Hajiji berkata, di bawah Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri ketika ini, Sabah menerima layanan yang lebih adil dan sewajarnya, termasuk dalam isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Alhamdulillah, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri mendengar suara kita dan kita dilayan sebaiknya.

"Oleh itu, saya menyatakan sekali lagi bahawa GRS tetap menyokong beliau. Banyak inisiatif dan tuntutan kita dalam MA63 diluluskan oleh Perdana Menteri.

"Sebelum itu amat sukar untuk mereka turunkan kuasa atau meluluskan permintaan. Jadi, apa yang kita harapkan? Kalau Kerajaan Perpaduan baik untuk negeri kita, kenapa tidak kita sokong kerajaan ini?" katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan yang menyentuh pengalamannya bersama beberapa pemimpin Sabah terdahulu, Hajiji menjelaskan bahawa ia berlaku ketika era pentadbiran kerajaan sebelum ini dan menyifatkan kenyataan yang didengarnya pada waktu itu sebagai tidak sesuai.

"Itu dulu, sebelum Kerajaan Perpaduan. Apabila saya dengar perkataan itu, di situlah saya membuat keputusan untuk menyokong Kerajaan Perpaduan, kerana bagi saya perkataan itu tidak berapa sedap saya dengar," ujarnya.

Dalam pada itu, Hajiji turut memaklumkan bahawa beliau akan menyertai rombongan lawatan bersama Perdana Menteri ke Jakarta, Indonesia pada Isnin.

Menurutnya, perbincangan dengan Perdana Menteri itu akan melibatkan isu pembangunan bersama di kawasan Laut Sulawesi serta tuntutan berkaitan hasil pulangan negeri sebanyak 40 peratus daripada kerajaan Persekutuan.

"(Perbincangan) Sulawesi, Indonesia yang dipanggil Ambalat. (40 peratus) nanti kita terus tuntut," katanya.