IPOH - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan cadangan pihak pembangkang untuk menganjurkan Himpunan Turun Anwar sebagai tindakan tidak berasas dan bermotifkan politik semata-mata.
Timbalan Ketua Penerangan AMK, R Sharvin berkata, himpunan itu tidak berpaksikan fakta atau realiti semasa.
Menurutnya, ia hanya bertujuan mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat dan memberi keuntungan kepada segelintir kelompok berkepentingan yang korup.
“Sejak Kerajaan Madani ditubuhkan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, pelbagai pencapaian telah direkodkan termasuk penurunan kadar inflasi, kestabilan harga barang asas seperti ayam, telur dan beras serta kenaikan gaji minimum.
“Bantuan-bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan MyKasih juga disalurkan kepada jutaan rakyat yang layak,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Sharvin berkata, kerajaan turut berjaya menarik pelaburan asing yang tinggi, mencatatkan keuntungan besar syarikat-syarikat strategik serta meraih pengiktirafan antarabangsa terhadap kestabilan politik dan ekonomi negara.
Katanya, berbanding pendekatan populis yang dipilih pembangkang, kerajaan kekal fokus kepada pentadbiran yang telus, berkesan dan berorientasikan rakyat.
"Cadangan penganjuran himpunan ini tidak akan menjejaskan kerajaan.
"Sebaliknya ia hanya akan menyerlahkan kegagalan pembangkang menawarkan alternatif yang bernas dan berwibawa,” ujarnya yang juga Timbalan Ketua AMK Cabang Tambun.