Isytihar LGBT haram di Malaysia secara terbuka - Afnan Hamimi

KOTA BHARU – Pemuda Pas menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengisytiharkan secara terbuka bahawa amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) diharamkan di Malaysia dari sudut pandangan Islam.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Datuk Taib Azamudden mendakwa golongan LGBT semakin berani kerana kerajaan memberi ruang sepenuhnya atas nama kebebasan hak asasi manusia.

“Kalau kerajaan yang ada hari ini serius menangani isu LGBT, saya minta Perdana Menteri isytiharkan bahawa LGBT haram dari sudut Islam.

“Golongan ini nampaknya semakin diberikan ruang untuk mengembangkan pemikiran tersebut dan situasi ini sangat tidak bagus,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Pemuda Pas Kelantan pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa masyarakat tidak boleh menuding jari kepada mana-mana pihak tertentu kerana sikap individu tidak semestinya mewakili parti, kaum atau agama.

“Semua kaum, bangsa dan agama memang membanteras perkara yang menyalahi moral,” tegasnya.

Mengulas mengenai isu penyalahgunaan dadah di Kelantan, Afnan berkata, semua negeri di kawasan sempadan berdepan masalah yang sama dan ia tidak wajar dikaitkan dengan politik.

“Banyak faktor berkait dengan masalah dadah termasuk lokasi sempadan, kurangnya ketahanan jati diri dalam kalangan anak muda serta tekanan ekonomi keluarga yang menyebabkan ibu bapa tidak dapat bersama anak-anak sepenuhnya,” katanya.

Menurut beliau, Pemuda Pas akan terus mendekati golongan muda kerana masalah dadah tidak boleh diselesaikan melalui hukuman semata-mata, sebaliknya memerlukan bimbingan berterusan dalam jangka panjang.