Ketua Pemuda Pas serah kepada perwakilan

KOTA BHARU – Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Datuk Taib Azamudden menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan pimpinan baharu Ketua Pemuda parti itu pada Muktamar Pas yang dijadual berlangsung pada September depan.

Afnan Hamimi berkata, parti itu tidak mengajar ahlinya untuk memburu jawatan dan beliau akan terus menjalankan tanggungjawab walaupun tanpa sebarang jawatan rasmi.

“Duduk di mana pun, saya tetap boleh berkhidmat. Sesiapa sahaja yang akan mengemudi Pemuda perlu berjiwa muda, memahami bahasa generasi Z dan berani bersuara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Pemuda Pas Kelantan pada Sabtu.

Menurut beliau, pemimpin yang bakal dilantik juga tidak seharusnya takut untuk menyuarakan isu-isu anak muda dan perlu berani menegur kerajaan.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Pas bersemangat untuk menghadiri Himpunan Turun Anwar.

“Kita dapati gelombang kebangkitan rakyat semakin memuncak walaupun tanpa kempen secara besar-besaran,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Polis Kuala Lumpur menjangkakan kehadiran antara 10,000 hingga 15,000 peserta yang akan menyertai Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad menasihatkan penganjur dan peserta agar mematuhi semua peraturan termasuk semasa perarakan berlangsung.