SHAH ALAM – Kontroversi melibatkan badan kehakiman, dasar ekonomi dan sosial kini memberi tekanan hebat terhadap Kerajaan Perpaduan yang dilihat semakin hilang arah serta terputus hubungan dengan realiti rakyat.
Bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Profesor Dr P Ramasamy berkata, agenda reformasi yang dahulunya menjadi tunjang utama pentadbiran kini sekadar retorik apabila ia 'dibekukan' dan tidak lagi diberi keutamaan.
“Reformasi hampir mati. Statistik khayalan digunakan untuk mencipta gambaran seolah-olah wujud kejayaan dan kestabilan ekonomi. Namun, semakin lama kerajaan terus menipu rakyat, semakin kuatlah kekuatan pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya pada Sabtu.
Beliau berpandangan, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak perlu digugat dari luar kerana kelemahan dalaman yang wujud kini sudah cukup untuk menghakis kestabilan gabungan itu secara perlahan tetapi pasti.
“Tidak perlu menjadi ahli sains politik untuk melihat siapa yang akhirnya akan mendapat keuntungan daripada rasa tidak puas hati rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
"Ketika rejim pemerintah jelas telah kehabisan idea, pembangkang pula dilihat semakin bersedia untuk belajar, menyesuaikan diri, dan melancarkan cabaran serius untuk menjatuhkannya,” ujarnya lagi.
Beliau yang juga Pengerusi Urimai berkata, Perikatan Nasional (PN) kini sedang menyusun semula langkah dengan strategi lebih inklusif merentasi kaum, suatu pendekatan yang dianggap mampu menggugat dominasi PH-BN sekiranya diteruskan dengan konsisten.
“Politik adalah tentang pelbagai kemungkinan masa depan. PN mungkin lemah hari ini—dari segi bilangan dan kepimpinan yang tegas—namun potensinya jauh lebih besar dan lebih cerah berbanding gabungan yang diketuai oleh PH yang dibelenggu oleh pelbagai percanggahan dalaman dan luaran,” katanya.
Ramasamy turut menyatakan bahawa sejarah tidak dibentuk semata-mata melalui teori abstrak, tetapi dengan menangani masalah sebenar yang belum diselesaikan oleh kerajaan.
“Kerajaan Madani tidak lagi dilihat mampu menunaikan janji perubahan. Di sinilah kekosongan politik wujud, yang boleh dimanfaatkan secara strategik oleh pembangkang,” katanya.
Jelas beliau, secara empirik, PN sudah pun menguasai sokongan majoriti orang Melayu. Namun, cabaran seterusnya ialah memperluaskan sokongan dalam kalangan masyarakat Cina dan India menerusi perjuangan terhadap isu-isu rentas kaum.
“Pembentukan satu barisan bersatu yang merangkul sokongan orang Melayu dan bukan Melayu di bawah satu payung politik merupakan perkembangan kritikal untuk mengisi kekosongan sedia ada,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa masa depan politik bukan milik kelompok elit semata-mata, tetapi bergantung kepada bagaimana kekuatan rakyat dimobilisasikan.
“Masa depan adalah milik golongan lemah yang membentuk majoriti. Sejarah sentiasa ditulis oleh dan untuk majoriti rakyat,” katanya.