PN perlu pendekatan inklusif raih sokongan bukan Melayu - Ramasamy

SHAH ALAM– Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas disaran agar sepakat mengambil pendekatan yang lebih inklusif bagi memperkukuh hubungan dengan masyarakat bukan Melayu, terutamanya kaum India dan Cina.

Bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Profesor Dr P Ramasamy berkata, keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat penting selama tiga jam yang diadakan pada Jumaat melibatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pemimpin pelbagai parti yang tidak menyokong kerajaan semasa.

“Secara umum, disedari bahawa masyarakat India semakin terbuka terhadap PN, manakala masyarakat Cina masih berhati-hati, meskipun rasa kecewa terhadap DAP semakin ketara,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya pada Sabtu.

Antara parti yang menghantar wakil dalam mesyuarat tersebut ialah Urimai, Berjasa, Pejuang, Putra, MAP, PPP, Muda, Gerakan, MIPP dan beberapa lagi.

Ramasamy yang juga Pengerusi Urimai berkata, satu cadangan penting telah diketengahkan dalam pertemuan tersebut, iaitu pembentukan blok politik baharu yang berada di luar kerangka gabungan PN sedia ada, khusus untuk menarik sokongan masyarakat bukan Melayu.

Beliau menyifatkan pertemuan tersebut sebagai positif dan membuahkan hasil, selain membuka ruang strategik kepada pembangkang untuk menarik sokongan merentas kaum dalam pilihan raya akan datang.

“Beberapa pilihan raya kecil sebelum ini menunjukkan petunjuk penting. Walaupun pengundi Cina masih sukar menerima Pas, terdapat isyarat perubahan sikap terhadap kerajaan Madani melalui penurunan kadar keluar mengundi dan rasa tidak puas hati yang semakin ketara,” katanya.

Beliau menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan pembentukan blok politik berkenaan yang disifatkan mampu menjadi pemangkin kepada kekuatan baharu bagi pembangkang, terutama dalam usaha menghimpunkan sokongan daripada pengundi Cina dan India.

Ramasamy turut menjelaskan bahawa mesyuarat itu turut membincangkan strategi bagi mempertingkat daya tarikan pembangkang terhadap golongan bukan Melayu yang dilihat semakin menjauh daripada gabungan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin dijangka membentangkan dapatan serta cadangan daripada pertemuan itu kepada Majlis Tertinggi PN dalam masa terdekat bagi merangka hala tuju seterusnya.

“Walaupun masyarakat bukan Melayu masih berhati-hati untuk memberikan sokongan penuh kepada pembangkang, PN perlu mengambil inisiatif bermakna untuk mendekati mereka.

“Hanya melalui usaha bersama dan keterangkuman, titik persamaan antara bukan Melayu dan PN dapat dibina dalam menghadapi gabungan kerajaan PH,” ujar beliau.