Semboyan Zahid Hamidi cetus gelombang baharu Pemuda UMNO Johor

 

JOHOR BAHRU - Ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading pada Sabtu menjadi pencetus gelombang kebangkitan baharu buat parti itu khususnya dalam kalangan Pemuda UMNO Johor.

 

Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Dr Mohammad Aswad Ithnain berkata, kenyataan Ahmad Zahid yang mahu merampas semula kerusi-kerusi dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang memberi isyarat jelas bahawa masa untuk bangkit sudah tiba.

 

"Ini bukan sekadar mesej politik, tetapi semboyan kebangkitan parti keramat yang telah melalui badai sebelum ini.

 

"Kami di Johor, terutamanya Pemuda, menyahut seruan ini dengan penuh iltizam untuk menjadi gelombang pertama kebangkitan UMNO yang akan merebak ke negeri-negeri lain," katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurutnya, Johor sebagai negeri kubu kuat UMNO sebelum ini akan menjadi pentas penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat, terutamanya pengundi muda yang kini mewakili lebih 40 peratus kekuatan PRU.

 

Beliau berkata, Pemuda UMNO tidak boleh terus bergantung kepada nostalgia atau pendekatan lama jika mahu menarik semula sokongan anak muda.

 

"Generasi muda mahukan penyelesaian, mereka mahu pendekatan baharu.

 

"Sebab itu Pemuda UMNO mesti menjadi wajah segar perjuangan yang lebih dekat dengan rakyat, lebih berani membawa isu, bukan sekadar menunggu arahan," katanya

 

Dalam pada itu, mengulas dakwaan pembangkang kononnya UMNO tunduk kepada DAP dalam Kerajaan Perpaduan, Mohammad Aswad menegaskan kerjasama politik itu adalah keputusan berjiwa besar demi kestabilan negara.

 

"Presiden sendiri menegaskan bahawa kemenangan ini bukan kerana kita hebat semata-mata tetapi dibantu rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

 

"Ini keputusan matang, kita bukan jual prinsip, sebaliknya mahu jadi pembina kestabilan, bukan pencetus kekacauan," jelasnya.

 

Mohammad Aswad dalam masa sama menegaskan kebangkitan UMNO hari ini tidak bergantung kepada seorang individu semata-mata, tetapi kerana kesetiaan jutaan ahli yang tidak pernah berhenti percaya pada perjuangan parti.

 

"Saya menyeru seluruh Pemuda UMNO, khususnya di Johor, bangkitlah. Dekatilah rakyat, dengar suara mereka dan kembalikan kepercayaan yang pernah hilang," katanya.