SHAH ALAM - Kerajaan digesa bertindak segera dan telus terhadap segala dakwaan pencabulan institusi kehakiman negara yang didedahkan sekumpulan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, dakwaan-dakwaan seperti pencalonan hakim yang tidak diangkat, pelantikan utama yang tergendala, prosedur mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang dipersoalkan dan campur tangan dalam kes kehakiman adalah dakwaan yang sangat berat dan tidak boleh dipandang remeh.
Menurutnya, institusi kehakiman adalah salah satu cabang utama pentadbiran negara dan apabila cabang berkenaan dicemari oleh campur tangan politik atau eksekutif, prinsip pengasingan kuasa yang menjadi asas sesebuah negara demokrasi akan runtuh.
"Tanpa kebebasan kehakiman, kita tidak lagi boleh mendakwa Malaysia sebagai negara demokrasi, bahkan sedang meluncur ke arah pemerintahan berciri diktator.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajib segera kembali ke tanah air dan memberikan penjelasan secara langsung kepada rakyat dan Parlimen.
"Ini bukan isu kecil yang boleh dilengah-lengahkan. Ini adalah isu melibatkan kedaulatan undang-undang dan masa depan keadilan dalam negara kita," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, sembilan Ahli Parlimen PKR, diketuai Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menerusi sidang media khas, mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah yang kini mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.
Menurut Rafizi, kemelut berhubung pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman perlu diberi perhatian segera kerana situasinya kini didakwa mirip skandal video VK Lingam pada 2007 yang membabitkan cubaan mempengaruhi lantikan Ketua Hakim Negara ketika itu.
Sidang media tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.
Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas berkata, dengan penuh takzim dan hormat, pihaknya juga menzahirkan sembah ampun perkenan memohon Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar meneliti dan mempertimbangkan untuk mengambil langkah sewajarnya berhubung isu tersebut.
Ujarnya, campur tangan Baginda perlu demi menjamin kemuliaan dan kebebasan institusi kehakiman terus terpelihara daripada sebarang pencabulan serta campur tangan pihak eksekutif.
"Patik yakin bahawa Seri Paduka Baginda sentiasa menjunjung prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dan dengan penuh harapan, patik serta seluruh rakyat menantikan kebijaksanaan Baginda dalam menangani kemelut yang sedang melanda ini," katanya.