Tajuddin masih berbisa, menang undian tertinggi G7

IPOH – Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membuktikan pengaruhnya masih berbisa apabila memperoleh undian tertinggi dalam pemilihan kumpulan G7 UMNO Bahagian Pasir Salak untuk ke Perhimpunan Agung UMNO Tahun 2025.

Beliau memperoleh sebanyak 376 undi diikuti isterinya, Datin Seri Rohkiah Abdul Samat yang turut mencatat keputusan cemerlang dengan 362 undi mengatasi calon lain sempena Mesyuarat UMNO Bahagian Pasir Salak pada Ahad lalu.

Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Mohd Nazari Sabran berkata, keputusan itu membuktikan semangat perjuangan Tajuddin dan isteri terus mendapat sokongan padu daripada akar umbi.

“Saya merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada seluruh perwakilan UMNO Bahagian Pasir Salak yang hadir serta memberi komitmen dalam mesyuarat bahagian baru-baru ini.

“Tahniah kepada semua calon G7 yang berjaya, khususnya kepada Ayahanda Datuk Seri Tajuddin dan Bonda Datin Seri Rohkiah atas kemenangan cemerlang. Ini jelas menunjukkan keyakinan ahli terhadap kepimpinan mereka masih utuh dan teguh,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Mohd Nazari turut menegaskan komitmennya untuk terus berkhidmat kepada parti dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan ahli UMNO Pasir Salak.

Untuk rekod, G7 ialah kumpulan perwakilan yang dipilih melalui mesyuarat UMNO peringkat Bahagian untuk mewakili bahagian tersebut ke Perhimpunan Agung UMNO.

Tajuddin yang pernah memimpin UMNO Bahagian Pasir Salak sebelum ini digantung keahlian selama enam tahun bermula September 2022 atas kesalahan mengkritik parti, termasuk menyentuh isu berkaitan tempoh masa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Surat penggantungan bertarikh 21 Jun 2022 turut tular di media sosial ketika itu, menyebabkan beliau mengemukakan rayuan sebanyak empat kali.

Bagaimanapun, Majlis Tertinggi UMNO pada 25 November tahun lalu memutuskan untuk menarik balik penggantungan tersebut berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada 25 November 2024 setelah Majlis Tertinggi parti secara sebulat suara bersetuju melepaskan dan menarik semula penggantungan tersebut mengikut Fasal 10.6 dan Fasal 5.3 Perlembagaan UMNO.