KUALA SELANGOR - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan sayap itu perlu bekerja keras dan bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) seolah-olah parti bertanding secara solo tanpa bergantung kepada mana-mana pihak.
Menurutnya, sebarang kerjasama hanya boleh berlaku sekiranya terdapat persefahaman, namun jika gagal dicapai, UMNO bersedia untuk bertanding solo pada bila-bila masa.
"Kalau tak ada persefahaman, UMNO sedia untuk pergi solo bila-bila masa," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Selangor di sini pada Ahad malam.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Selangor, Mohammad Aliff Asyraf Mohd Azhari.
Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau menjelaskan, kejayaan UMNO di Melaka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu tidak boleh disamakan dengan negeri lain seperti Selangor.
"Namun prinsip utama tetap sama iaitu rakyat mahu pemimpin yang bekerja, bukan muncul hanya semasa pilihan raya.
"Kalau kita betul-betul turun ke bawah dan berkhidmat untuk rakyat, saya percaya UMNO akan kembali bertakhta di hati rakyat," ujar beliau.
Dalam pada itu, Muhamad Akmal menegaskan pentingnya kesetiaan dalam perjuangan parti sambil menyifatkan ramai pemimpin yang kekal bersama UMNO bukan kerana jawatan atau projek sebaliknya atas dasar prinsip.
"Mereka yang setia tanpa kepentingan peribadi inilah sebenarnya kekuatan UMNO, tapi setia itu bukan bermakna tunduk membuta tuli.
"Kalau salah, kita tegur dan jika betul, kita pertahankan," tambah beliau.
Menyentuh usul penggantungan terhadap Datuk Seri Hishammuddin Hussein ditarik balik dan cadangan membawa masuk semula beberapa tokoh lama, Muhamad Akmal berkata, beliau bersedia menjadi jambatan untuk sesiapa sahaja yang mahu kembali menyumbang demi parti.
"Saya kata turunkan ego, kalau benar sayangkan parti, baik daripada mereka yang tinggalkan UMNO mahu pun pimpinan yang ada sekarang termasuk saya sendiri, kita kena cari kesepaduan.
"UMNO hari ini hanya tinggal 26 kerusi, jangan kita pecah-pecahkan lagi kerana parti ini bukan milik individu, tetapi untuk semua,” katanya.
Mengulas soal Kabinet dan kedudukan menteri selepas Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz keluar UMNO dan berhasrat menyertai PKR, Muhamad Akmal berkata, Pemuda UMNO tidak terlalu menuntut jawatan tetapi mahu suara rakyat dibawa ke atas.
“Siapa jadi menteri bukan keutamaan kami, tapi hargailah orang yang kekal setia di bawah.
"UMNO tak pernah ketandusan pemimpin, kalau satu pergi, Insya-Allah sepuluh lagi akan datang dan lebih baik," tegas beliau.