PASIR MAS – UMNO tidak pernah hilang kuasa kerana kekuatan pihak lawan, sebaliknya rebah kerana perbalahan dalaman dan budaya 'cah keting' yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, konflik demi konflik yang tercetus dalam parti sendiri, termasuk perebutan jawatan, pengkhianatan dan penubuhan parti serpihan menyebabkan sokongan orang Melayu Islam berpecah hingga melemahkan kekuatan politik UMNO.
**media[3181563]**
“Politik Malaysia ini macam putaran roda. Adakalanya kita di atas, adakalanya kita di bawah. Tapi kalau kita tengok balik, semuanya berpunca daripada konflik dalaman bukan kerana musuh kuat.
“UMNO kalah di Kelantan tahun 1990 sebab perpecahan selepas Semangat 46. Tahun 1998 apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat, Parti Keadilan Rakyat pula ditubuhkan. Tahun 2016 pula, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin tubuhkan Bersatu.
“Semua ini hasil berbalah sesama sendiri, 'cah keting' dalam parti,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rantau Panjang 2025 di Lubok Jong di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, UMNO juga pernah kehilangan kuasa buat kali pertama dalam sejarah pada Pilihan Raya Umum ke-14 kerana sebahagian pemimpin sendiri meninggalkan perjuangan dan bertindak menikam parti dari belakang.
“Tapi darah kita ni darah kerajaan, bukan darah pembangkang.
“Kita tak reti duduk jadi pembangkang dan dalam Kerajaan Perpaduan pun ada peranannya,” kata beliau.
**media[3181562]**
Mengulas lanjut, Asyraf menegaskan bahawa UMNO mesti kembali menjadi parti dominan dalam kerajaan demi memastikan agenda Islam, Melayu dan bumiputera terus terbela.
Menurutnya, walaupun UMNO kini berkongsi kuasa dalam Kerajaan Perpaduan, namun peranan parti itu masih dominan dalam menjayakan pelbagai dasar penting berkait kepentingan umat Islam dan orang Melayu.
“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diberi amanah besar termasuk pengerusi Kongres Ekonomi Bumiputera, dan saya sendiri dipertanggungjawabkan terhadap Majlis Amanah Rakyat, institusi penting dalam membela orang Melayu.
“Kalau tidak dominan, mana mungkin kita dapat semua ini. Tetapi untuk kekal dominan, parti kita kena kukuh dulu.
"Jangan ulang sejarah pecah-belah, jangan ada lagi budaya cah keting,” katanya.