Tugas Menteri Ekonomi digalas Amir Hamzah, timbul persoalan kualiti kerja Rafizi

SHAH ALAM - Tugas diberikan kepada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam menggalas fungsi Menteri Ekonomi membuktikan pandangan pihak tertentu bahawa Pakatan Harapan (PH) ketandusan ahli Parlimen yang layak memegang jawatan berkenaan.

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, ia juga menimbulkan persoalan tentang kualiti hasil kerja yang ditinggalkan oleh Datuk Seri Rafizi Ramli sebelum beliau melepaskan jawatan Menteri Ekonomi pada 27 Mei lalu.

“Saya mendoakan Amir Hamzah diberikan ilham dan kekuatan untuk mengemudi dua kementerian yang amat penting ini, dalam tempoh yang amat kritikal untuk Malaysia.

“Sememangnya pelantikan ini amat tepat, mengambil kira latar belakang profesional dan korporat yang dimiliki Amir Hamzah. Namun tugasan yang ditaklifkan kepada beliau amat berat.

“Baharu semalam dilaporkan, mekanisme pelaksanaan subsidi petrol bersasar masih dalam perincian, hari ini ditugaskan pula untuk mengolah dan merombak semula dokumen Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13); yang difahamkan kedua-dua tugasan itu telah disiapkan oleh Rafizi sebelum ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menerusi kenyataan pada Khamis memaklumkan bahawa Amir Hamzah diberi tanggungjawab menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkuat kuasa serta-merta.

Shamsul Azri berkata, perkara tersebut dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dimaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.

Dalam pada itu, Syahir turut mengambil kesempatan mengulangi saranan beliau terhadap kerangka penggubalan RMK13 yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

Menurut beliau, antara saranannya adalah meneruskan peruntukan 50 peratus perbelanjaan pembangunan (DE) kepada enam negeri sedang membangun sebagaimana digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

“Melaksanakan dasar cukai progresif, bukannya regim cukai regresif supaya insiden cukai lebih dikenakan kepada golongan terkaya.

“Merangka formula baharu perkongsian hasil dan sumber cukai di antara negeri dan persekutuan, termasuk agihan royalti petroleum yang lebih telus serta adil kepada negeri pengeluar minyak,” ujarnya.

Kata Syahir, kerajaan juga perlu memberi penekanan terhadap pengupayaan bakat dan pemilikan tempatan dalam sektor pelaburan, perkhidmatan, pertanian serta industri berkemahiran tinggi bagi menjamin kemampanan ekonomi negara

“Mempersiapkan Malaysia ke arah ‘negara menua’ dalam aspek kualiti hidup, penjagaan kesihatan dan sokongan sosial yang menyeluruh,” menurutnya.