Pemuda Pas desak Malaysia tegas kutuk serangan AS ke atas Iran

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas mendesak kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mengambil pendirian lebih tegas terhadap tindakan Amerika Syarikat yang didakwa menyerang Iran dalam tempoh beberapa hari lalu.

Gesaan itu disuarakan oleh Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden ketika sidang media selepas Himpunan Bantah Serangan Terhadap Iran yang diadakan di jalan utama menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat di ibu negara, sejurus selesai Solat Jumaat hari ini.

“Kita berkumpul di jalan menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur untuk membantah tindakan Amerika Syarikat yang menyerang Iran dalam tempoh beberapa hari lalu,” katanya.

**media[3181325]**

Menurut Afnan, meskipun serangan tidak berlaku pada hari ini, pihaknya percaya tindakan agresif oleh Amerika Syarikat akan diteruskan sama ada dalam bentuk serangan fizikal atau bentuk lain.

“Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memang jelas tidak mesra terhadap negara-negara Islam, khususnya yang menyokong Palestin.

"Nampaknya beliau cuba menjadikan Palestin dan negara-negara penyokongnya sebagai musuh dan ini sangat tidak wajar,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, sebagai kuasa besar dunia, Amerika Syarikat seharusnya tidak menindas umat Islam, khususnya rakyat Palestin serta negara yang menyokong perjuangan mereka.

“Dalam keadaan ini, kita menyokong Iran kerana ia adalah negara umat Islam. Amerika Syarikat yang mencetuskan ketidakstabilan ini, maka sebab itu kita berhimpun hari ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Afnan menyatakan bahawa Pemuda Pas akan meneruskan siri protes bagi menyuarakan bantahan terhadap dasar luar Amerika Syarikat yang dianggap mengancam kestabilan dunia Islam.

Beliau juga memberi amaran bahawa jika tindakan agresif Washington berterusan, ia boleh mencetuskan peperangan dunia ketiga.

**media[3181324]**

“Ini tidak baik untuk keamanan dunia. Ia boleh menyebabkan ketidakstabilan politik, huru-hara ekonomi, dan jika ini yang diinginkan Amerika Syarikat, maka seluruh dunia perlu bersatu untuk menentangnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyatakan sokongan terhadap cadangan agar satu sidang khas Parlimen diadakan, atau sekurang-kurangnya usul mengutuk tindakan Amerika Syarikat dimasukkan dalam Sidang Parlimen yang dijadual berlangsung hujung Julai ini.

“Saya kira ini perlu dibuat. Seperti mana kita bersatu dalam isu Palestin, kita juga harus bersatu dalam isu serangan terhadap Iran ini,” katanya.