Kenyataan Zaharudin didakwa mengelirukan dan bercanggah Perlembagaan – AMK

KUALA LUMPUR – Biro Guaman dan Aduan Awam Angkatan Muda Keadilan (AMK) menzahirkan kebimbangan serius terhadap kenyataan berbaur perkauman oleh Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad, berhubung dakwaan kononnya warga asing boleh memperoleh kewarganegaraan melalui naturalisasi dan akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri menjelang tahun 2058.

Ketua biro berkenaan, Khairul Naim Rafidi berkata, penjelasan yang dikemukakan Zaharudin dalam satu hantaran baru-baru ini bukan sahaja bersifat mengelirukan dan prejudis, malah memperlihatkan kekeliruan nyata terhadap intipati Perlembagaan Persekutuan, khususnya berkaitan undang-undang kewarganegaraan negara.

“Zaharudin mendakwa bahawa program Malaysia My Second Home (MM2H) akan membuka ruang kepada bangsa asing untuk menjadi warganegara dan seterusnya menjadi Perdana Menteri.

“Ini adalah andaian yang salah dan bercanggah dengan Perlembagaan serta undang-undang negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau menjelaskan bahawa MM2H merupakan program visa jangka panjang yang tidak memberikan taraf pemastautin tetap, apatah lagi kewarganegaraan. Malah, anak kepada peserta program itu yang lahir di Malaysia juga tidak secara automatik diberikan taraf warganegara.

“Perkara 14 dan 15 Perlembagaan Persekutuan menetapkan syarat ketat bagi pemberian kewarganegaraan, termasuk status ibu bapa, tempoh pemastautinan serta kelulusan khas kerajaan.

“Selain itu, Perkara 19 turut menyatakan bahawa seseorang hanya boleh memperoleh kewarganegaraan melalui naturalisasi selepas lebih 10 tahun bermastautin, menguasai bahasa kebangsaan, dan mengangkat sumpah taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.

Tambah beliau, lebih penting lagi, Perkara 43(7) Perlembagaan menetapkan bahawa individu yang memperoleh kewarganegaraan melalui naturalisasi tidak layak dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Justeru, naratif yang dibawa oleh Zaharudin bukan sahaja menyimpang daripada fakta, malah mencemarkan kedudukan Perlembagaan yang menjadi asas perpaduan negara,” tegasnya.

Khairul Naim turut mengingatkan bahawa sebagai seorang ahli politik, Zaharudin seharusnya bertanggungjawab memperbetulkan kenyataan tidak tepat, dan tindakan berbuat demikian mencerminkan kemuliaan akhlak serta keberanian moral.

“Kami menyeru beliau agar berani memohon maaf secara terbuka atas kenyataan yang telah menimbulkan kegelisahan awam, dan tidak terus menyalahkan tafsiran orang lain. Dalam Islam sendiri, meminta maaf adalah tanda kematangan dan kejujuran, bukan kelemahan,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia tidak dibina atas sentimen perkauman yang sempit, tetapi berasaskan kepada undang-undang, institusi serta sejarah perjuangan yang panjang.

“Setiap kenyataan yang berniat memutarbelitkan Perlembagaan demi agenda politik wajar ditegur dan ditolak secara tegas,” katanya.