SHAH ALAM – DAP menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap seorang pemimpin Pas yang mempertikaikan pelantikan Datuk Johny Lim Eng Seng sebagai Leftenan Jeneral pertama dalam kalangan kaum Tionghua dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong berkata, beliau kecewa dan sedih dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad, yang mempersoalkan pelantikan Johny Lim hanya kerana beliau berbangsa Cina.
Chee Keong menegaskan bahawa Johny Lim sememangnya layak memegang jawatan tersebut kerana telah berkhidmat lebih 40 tahun bersama ATM.
“Kenyataan pemimpin Pas tersebut sebenarnya menghina ribuan anak Malaysia yang setiap hari menyarung celoreng, rela berjauhan dengan keluarga, tidak kira panas atau hujan, tidur di hutan dan sempadan demi berkorban menjaga kedaulatan tanah air ini.
“Apabila peluru musuh datang, ia tidak bertanya sama ada tentera kita Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban atau Orang Asli. Tetapi apabila pelantikan diumumkan, ada pula yang meletakkan bangsa melebihi pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, Menteri Sumber Manusia itu berkata, kenyataan Zaharuddin bukan sekadar mempertikai pelantikan Johny Lim, tetapi seolah-olah memperlekeh kepercayaan ATM dan Yang di-Pertuan Agong sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera.
“Kenyataan jahat seperti ini menyerlahkan sikap sebenar Pas terhadap masyarakat bukan Islam di negara ini.
“Adakah pengorbanan Leftenan Jeneral ini selama 41 tahun dalam perkhidmatan masih belum cukup ‘layak’ untuk diraikan pada pandangan beliau?
“Wajarkah cinta seorang perajurit terhadap tanah air ini diukur melalui warna kulit?” soalnya.
Steven turut mempersoalkan sama ada Zaharuddin pernah mendengar nama Laksamana Muda Tan Sri K Thanabalasingam (Bersara), anak tempatan pertama dilantik sebagai Ketua Turus Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Tidak pernahkah Zaharuddin mendengar nama Brigedier Jeneral Datuk Seri Goh Seng Toh dan ramai lagi putera watan bukan Melayu yang memegang jawatan tinggi dalam ATM?
“Kenyataan berbaur perkauman, menghasut dan bernada derhaka seperti ini wajar dikenakan tindakan undang-undang yang tegas sebagai pengajaran kepada ahli politik, tidak kira daripada parti mana, supaya jangan sesekali bermain dengan api perkauman,” katanya.