Kemenangan Syed Saddiq kemenangan untuk rakyat - Muda

SHAH ALAM – Kemenangan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam rayuan terhadap sabitan dan hukuman pertuduhan merupakan pencetus kepada gelombang perjuangan menentang ketidakadilan dan dorongan untuk terus berkhidmat demi negara.

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkata, kemenangan itu juga merupakan kejayaan untuk rakyat Malaysia, khususnya warga Muar.

“Ini bukan pengakhiran perjuangan. Sokongan dan doa anda selama ini telah memberi Syed Saddiq semangat untuk terus menempuh dugaan yang dihadapi tanpa lesu.

“Terima kasih, Malaysia,” menurut kenyataan parti itu menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan pada Rabu melepaskan dan membebaskan beliau daripada sabitan dan hukuman atas empat pertuduhan berkaitan penyelewengan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) tujuh tahun lalu.

Ia membabitkan satu kes subahat pecah amanah melibatkan dana berjumlah RM1 juta, satu pertuduhan salah guna harta sebanyak RM120,000 serta dua pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA), masing-masing berjumlah RM50,000.