Sokongan 55 peratus bukti kepercayaan rakyat terhadap PM

KUANTAN – Dapatan terbaharu Merdeka Center yang menunjukkan 55 peratus kadar sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai cerminan keyakinan rakyat kepada dasar dan kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

Exco Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat, Farahida Fauzi berkata, angka itu bukan sekadar statistik semata-mata, sebaliknya membuktikan kepercayaan rakyat terhadap usaha gigih, dasar yang inklusif dan keberanian moral seorang pemimpin yang tidak tunduk kepada politik populis.

Menurutnya, Anwar kekal berpegang teguh kepada prinsip kebenaran dan keadilan.

"Di saat dunia dan rantau berdepan ketidaktentuan ekonomi, kestabilan politik di bawah Kerajaan Perpaduan menjadi faktor utama kepercayaan rakyat terus bertambah.

"Usaha berterusan dalam memperkukuh ekonomi rakyat, reformasi institusi, pendidikan dan pembelaan terhadap golongan rentan, khususnya wanita serta kanak-kanak.

"Ini membuktikan bahawa kerajaan hari ini tidak hanya memerintah, tetapi benar-benar memimpin," katanya pada Rabu.

Beliau yang juga Ketua Wanita PKR Cabang Indera Mahkota menjelaskan, sayap wanita parti melihat secara dekat komitmen Anwar dalam memastikan suara wanita bukan sahaja didengar, tetapi turut diberi tempat yang sewajarnya dalam pentadbiran negara.

Ujarnya, pendekatan inklusif itulah yang menjadi nadi kepada naratif Malaysia Madani, yang melindungi, membina dan memimpin.

"Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus menyokong usaha reformasi dan memperkukuh perpaduan nasional.

"Kepercayaan ini adalah amanah. Pemimpin yang baik diuji bukan pada kata-katanya, tetapi pada amal dan istiqamahnya,” katanya.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan tinjauan dijalankan Merdeka Center mendapati majoriti pengundi di Malaysia memberikan penarafan positif sebanyak 55 peratus kepada Anwar pada Mei lalu, berbanding 43 peratus pada Jun 2024.

Organisasi bebas yang memfokus kepada penyelidikan pendapat umum dan analisis sosioekonomi itu memaklumkan, tinjauan melibatkan 1,208 pengundi berdaftar menunjukkan rakyat mula merasakan negara berada dalam keadaan semakin stabil, dengan ketidakstabilan politik kian mereda.

Anwar juga dilihat memimpin kerajaan dengan majoriti dua pertiga di Parlimen, satu faktor penting yang menyumbang kepada tahap keyakinan semasa.