Pas tidak boleh leka dengan kemenangan - Tuan Ibrahim

ALOR SETAR – Seluruh kepimpinan dan jentera Pas diingatkan agar tidak leka dengan kemenangan yang dikecapi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, sebaliknya terus memperkemaskan gerak kerja bagi menghadapi PRU16.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, antara kejayaan yang membanggakan ialah kemenangan Pas di kerusi Parlimen Alor Setar apabila berjaya memecah dominasi calon bukan Melayu yang menguasai kerusi tersebut sejak tahun 1955.

Menurutnya, kejayaan itu merupakan detik bersejarah bagi parti mahupun negeri Jelapang Padi, dan kemenangan tersebut harus dikekalkan.

“Kemenangan ini, insya-ALLAH, akan menjadi motivasi kepada kawasan lain yang mempunyai demografi seperti itu. Tidak mustahil untuk kita mencapai kemenangan selagi mana gerak kerja kita kemas, tersusun dan berstrategi,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Alor Setar yang ke-46.

Turut hadir, Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Alor Setar, Datuk Ahmad Yahaya.

Tuan Ibrahim turut mengingatkan bahawa kemenangan tidak seharusnya menjadi faktor untuk jentera parti leka, sebaliknya ia perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh kekuatan parti dalam mendepani cabaran masa hadapan.

“Mesyuarat agung kawasan perlu menjadi medan bermuhasabah bagi semua, baik pimpinan mahupun ahli, dalam menilai amanah kepimpinan serta usaha-usaha dakwah, tarbiah dan siasah yang dilaksanakan,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar seluruh kepimpinan dan ahli Pas Kawasan Alor Setar memperkukuh tekad dan gerak kerja demi mempertahankan kemenangan sedia ada bagi memastikan kesinambungan perjuangan parti terus terpelihara.