ALOR SETAR – Pas Kawasan Alor Setar sebulat suara mencalonkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Naib Presiden Pas pada Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-46.
Usul pencalonan itu dikemukakan oleh Dewan Pemuda Pas Kawasan Alor Setar dan menerima sokongan penuh daripada semua perwakilan yang hadir.
Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Alor Setar, Datuk Ahmad Yahaya berkata, pencalonan itu bertujuan mengukuhkan organisasi parti serta memperkasakan jentera pilihan raya sebagai persiapan menghadapi sebarang kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat.
“Secara rasmi, Pas Kawasan Alor Setar menghantar nama Datuk Seri Muhammad Sanusi sebagai calon Naib Presiden,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Difahamkan, Alor Setar merupakan kawasan pertama di Kedah yang mencadangkan pencalonan Muhammad Sanusi bagi jawatan tersebut.
Mesyuarat agung itu turut meluluskan usul mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar meletakkan jawatan kerana didakwa gagal memimpin negara ke arah kesejahteraan rakyat.
“Pas Alor Setar turut menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran ‘Himpunan Turun Anwar’ pada 26 Julai ini di ibu negara sebagai simbol penolakan terhadap kepimpinan Anwar.
“Pas mengajak seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang politik dan kaum untuk bersatu menuntut kerajaan yang adil, bersih, amanah dan membela rakyat,” katanya.
Menurut Ahmad, usul tersebut dibawa berikutan kegelisahan rakyat terhadap lonjakan harga barang akibat kegagalan kawalan harga, selain pemansuhan subsidi bersasar seperti diesel dan gas petroleum cecair (LPG), serta pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas barangan asas.
“Isu lain termasuk kegagalan merealisasikan janji reformasi institusi kehakiman, pendakwaan terpilih serta kelewatan membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tanpa justifikasi munasabah.
“Cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) pula didakwa lebih memihak kepada pemaju dan mengancam hak majoriti Melayu di bandar,” katanya.
Mesyuarat agung tersebut yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut menyaksikan Ahmad, yang juga Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, mengekalkan jawatan YDP Pas Kawasan Alor Setar bagi penggal 2025–2027 selepas menang tanpa bertanding untuk penggal keenam berturut-turut.
Turut mengekalkan jawatan ialah Zulkifli Che Haron sebagai Timbalan YDP, Ahmad Rofi Harun sebagai Pengerusi Tetap dan Ahmad Shafie Md Rejab sebagai Timbalan Pengerusi Tetap.
Ahli Parlimen Alor Setar merangkap Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden, merupakan muka baharu dalam barisan kepimpinan, diberi kepercayaan sebagai Naib YDP bagi penggal ini.
Ahmad menegaskan, tumpuan utama Pas Kawasan Alor Setar selepas ini ialah mengukuhkan organisasi parti, memantapkan jentera pilihan raya, memperkasakan pendidikan dan tarbiyah ahli, serta meningkatkan khidmat kepada rakyat.