SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) menzahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan wujud konflik kepentingan sekiranya Perdana Menteri terlibat secara langsung dalam proses pelantikan dua jawatan tertinggi badan kehakiman negara yang dijangka kosong awal Julai ini.
Dua jawatan tersebut ialah Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan yang masing-masing disandang oleh hakim kanan, dengan PN difahamkan bahawa kedua-dua penyandang jawatan berkenaan tidak ditawarkan penyambungan tempoh perkhidmatan selama enam bulan seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penglibatan Perdana Menteri dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung pelantikan itu dilihat tidak wajar kerana beliau sendiri masih berdepan dengan kes mahkamah yang belum diselesaikan.
“Ini secara langsung menimbulkan konflik kepentingan yang nyata dan boleh menghakis keyakinan awam terhadap kebebasan serta integriti institusi kehakiman negara.
“Dalam sebuah negara yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang, keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan tetapi juga mesti kelihatan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sehubungan itu, PN menyatakan sokongan terhadap resolusi yang dikemukakan oleh Sekretariat Pertahan Sistem Kehakiman yang dianggotai oleh tokoh negarawan, pakar perundangan serta wakil masyarakat sivil.
Jelas Takiyuddin, tiga cadangan utama telah diketengahkan:
1) Perdana Menteri wajar menarik diri daripada terlibat dalam proses pelantikan hakim kanan sehingga kes beliau di mahkamah selesai;
2) Mekanisme interim perlu diwujudkan, sama ada menerusi pembentukan Jawatankuasa Khas atau pelibatan lebih bebas oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), bagi mengelakkan percanggahan kepentingan;
3) Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman perlu diperkukuh dan dirombak supaya bebas daripada pengaruh eksekutif, termasuk melalui pengesahan silang oleh Jawatankuasa Pilihan Parlimen sebagaimana diamalkan di negara demokrasi lain.
Sehubungan itu, Takiyuddin menegaskan bahawa PN menyeru agar kerajaan dan semua institusi berkaitan mengambil serius perkara ini dan segera bertindak memastikan pelantikan dilakukan secara telus, bebas dan berintegriti.
“Langkah ini penting demi mempertahankan kebebasan badan kehakiman serta mengekalkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara,” katanya.