BN tanding logo dacing PRN17 Sabah -Ahmad Zahid

KOTA KINABALU - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa BN akan bertanding menggunakan logo dacing pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Bagaimanapun, beliau yang juga Presiden UMNO tidak menolak kemungkinan menjalin kerjasama dengan gabungan parti lain bagi menghadapi pilihan raya tersebut.

"Kita bertanding atas lambang dacing, BN tetapi kita tidak menolak kolaborasi dengan gabungan parti-parti yang lain.

"Kita sentiasa mengadakan pertemuan dengan semua pihak kerana tidak ada pintu yang harus dibuka seluas-luasnya dan tidak ada pintu yang ditutup serapat-rapatnya.

"Ertinya, ruangan perundingan dan kunjungan itu sering dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pemerksaan Wanita Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Selasa.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan semasa mengenai rundingan kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan kerajaan negeri iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Mengulas lanjut, beliau berharap perbincangan yang sedang berlangsung dapat membuahkan hasil positif sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kita mengharapkan yang positif dan tentunya perincian itu tidak dapat dilakukan sekarang kerana DUN belum dibubarkan tetapi apabila tiba masanya mungkin kita akan dapat tamatkan segala pertemuan dan rundingan yang kita lakukan," ujarnya.

Ditanya mengenai agihan kerusi, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa rundingan ke arah itu masih belum dimulakan kerana BN masih meneliti potensi kerjasama politik.

"Belum keperingkat perbincangan pembahagian kerusi atau mengelak pertindihan kerusi itu, tetapi yang terbaik ialah kita mempunyai sikap terbuka dan tentunya kita mencari rakan lebih ramai daripada mencari musuh.

"Kalau boleh semua kerusi kita bertanding menang," katanya.