Imbangi sinergi mikro, makro politik PKR

SHAH ALAM - Pelantikan Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi penggal baharu menandakan perubahan strategik yang signifikan dalam landskap politik dalaman parti itu.

Gandingan antara Timbalan Presiden dan bekas Setiausaha Agung parti itu secara tidak langsung memperlihatkan usaha menyatukan pengalaman, idealisme dan pendekatan taktikal dalam menghadapi cabaran besar pilihan raya umum (PRU) akan datang, khususnya mengukuhkan kedudukan PKR dalam Kerajaan Perpaduan.

Di samping itu, percaturan baharu itu mencerminkan cubaan mengimbangi antara kekuatan naratif dan jentera ekoran PRU16 dijangka berlangsung dalam suasana sengit antara blok kerajaan dan pembangkang.

Justeru keberkesanan jentera pilihan raya amat penting dan gabungan dua tokoh terkenal PKR itu menawarkan potensi sinergi antara pendekatan mikro dan makro politik.

Pensyarah Kanan Sains Politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan berpandangan, gandingan dua figura itu berupaya mengolah satu daya baharu dalam PRU sekiranya tidak dibayangi oleh persepsi toksik yang mengganggu keupayaan mereka.

Berdasarkan pengalaman politik yang setara antara mereka sama ada ketika PKR sebagai pembangkang atau kerajaan, beliau berkata, pembabitan dan mobilisasi parti akan lebih mudah dan cekap dengan naratif istimewa masing-masing.

“Namun perlu diingatkan, kosmetik politik seperti ini bukan satu jaminan bahawa orang ramai akan terbeli dengan mudah kerana pada saat akhir, penentu sebenar adalah prestasi kerajaan memerintah,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, pelantikan itu diputuskan dalam Mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Beliau turut menyifatkan keputusan tersebut mampu memberi kelebihan kepada parti pimpinan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Dalam pada itu Ariff Aizuddin berpendapat, pemilihan dua individu itu bukan sebagai petunjuk atau membuka jalan untuk mana-mana pihak lebih mendominasi dalam proses rundingan kerusi PRU kerana setiap parti mempunyai individu penting yang boleh diketengahkan.

Malah menurutnya, PKR merupakan sebuah parti berbilang kaum dan bergerak dalam kerangka pakatan, sekali gus perlu mengambil kira pandangan rakan parti lain.

“Masih terlalu awal untuk mengandaikan pelantikan itu sebagai sebahagian daripada proses suai kenal.

“Masih ramai dalam PKR boleh diketengahkan, namun pada setakat ini pemain-pemain politik lain boleh dianggap sebagai ‘simpanan’ yang relevan untuk menggantikan Anwar pada masa akan datang,” ujarnya.

Sementara itu veteran PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berpendapat, gandingan Timbalan Presiden PKR dan Setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu memberi ruang kepada komponen parti untuk bergerak dalam satu pasukan kukuh dan kuat mengikut panduan serta acuan parti.

Bekas Ahli Parlimen Kapar itu berkata, ia juga sebahagian strategi memenangkan dan mengekalkan kerajaan sedia ada selepas PRU16 nanti.

“Kebolehan daripada kedua-dua pihak (PKR dan PH) amat penting (kerana) jentera dalaman parti diketuai Nurul Izzah dan jentera PH di bawah Saifuddin Nasution,” ujarnya.