KOTA KINABALU - Mahkamah merupakan medan terbaik untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah membersihkan nama berhubung dakwaan salah laku, susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dua wakil rakyat negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya mengambil pendirian untuk memberi kepercayaan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.
"Kita memberikan kepercayaan kepada agensi penguatkuasaan terutama SPRM, bukan hanya untuk melakukan siasatan tetapi membawa bukti saksi yang berkrediabiliti dan kalau ada dua perkara itu, maka pertuduhan boleh dilakukan.
"Kalau seseorang itu mempunyai saksi dan bukti untuk menolak saksi dan juga bukti pihak pendakwaan, maka bersihkan nama di mahkamah, begitulah yang saya telah lakukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Pemerkasaan Wanita Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian UMNO-Barisan Nasional (BN) berhubung penahanan dua ADUN Sabah oleh SPRM baru-baru ini.
Terdahulu, SPRM dalam kenyataan mengesahkan bahawa dua ADUN disiasat, termasuk seorang daripadanya yang bakal didakwa di mahkamah atas dakwaan meminta dan menerima rasuah berkaitan pengeluaran lesen cari gali di negeri ini.
Sementara itu, media tempatan turut melaporkan bahawa seorang ADUN BN telah hadir ke pejabat SPRM Sabah pada Isnin untuk memberi keterangan.