PKR Sarawak perlu terus diperkukuh hingga ke peringkat akar umbi - Anwar

KUCHING - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru barisan kepimpinan PKR Sarawak supaya terus mengukuhkan kekuatan parti itu hingga ke peringkat akar umbi selepas pemilihan Mei lepas.

Beliau berkata, kekuatan akar umbi PKR harus dirangkul dengan semangat perpaduan dan perjuangan.

Anwar juga mengingatkan mereka yang menang dalam pemilihan lepas supaya tidak angkuh sebaliknya perlu bekerjasama dengan semua pihak termasuk yang tewas.

"Setiap daripada kita punya peranan dan kekuatan tersendiri untuk terus bekerja demi rakyat.

"Usaha membina parti di Bumi Kenyalang bukan mudah namun dengan iltizam bersama, Keadilan pasti mampu bertapak kukuh,” katanya menerusi hantaran di Facebook selepas Sesi Perjumpaan bersama Majlis Pimpinan PKR Sarawak di sini, pada Ahad.

Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, amanah yang diberikan bukan milik mutlak sebaliknya merupakan tanggungjawab besar yang mesti dipikul pemimpin dengan jujur dan ikhlas.

"Kuasa dan kedudukan bukan lesen untuk bersenang-lenang atau menyalah guna amanah. Setiap pimpinan wajib menjunjung integriti, telus dalam tindakan dan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat," katanya. - Bernama