KOTA KINABALU – Parti Warisan (Warisan) menegaskan bahawa mereka tidak terlibat dalam apa-apa kapasiti sekalipun dalam penganjuran Himpunan Gempur Rasuah 2.0 yang berlangsung pada Sabtu di sekitar pusat bandar Kota Kinabalu.
Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, penafian tersebut dibuat susulan dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan Warisan dengan perhimpunan berkenaan.
“Warisan tidak terlibat sama sekali dalam penganjuran himpunan tersebut. Ia dianjurkan sepenuhnya oleh Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan kami menghormati pendirian mereka yang konsisten bahawa tiada parti politik dibenarkan terlibat dalam acara itu.
“Saya sendiri telah mengeluarkan kenyataan rasmi di laman Facebook saya bagi pihak Parti Warisan untuk menafikan sebarang bentuk penglibatan atau sokongan terhadap program berkenaan,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Bagaimanapun, Mohd Azis menegaskan bahawa Warisan tetap menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman, seperti dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Ini termasuk hak pelajar, belia dan ahli parti politik, selagi himpunan dilakukan secara aman dan mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa semua ahli Warisan telah diingatkan supaya tidak memakai pakaian atau membawa sebarang simbol parti sekiranya mereka memilih untuk hadir ke perhimpunan tersebut.
“Kehadiran mereka adalah atas kapasiti peribadi, bukan sebagai wakil parti. Bagi memastikan arahan ini dipatuhi, saya telah menghantar pegawai-pegawai untuk memantau acara berkenaan.
“Saya boleh sahkan bahawa sepanjang perhimpunan itu berlangsung, tiada simbol atau bahan berkaitan Warisan dipamerkan,” ujarnya.
Mengenai insiden pembakaran kain rentang yang berlaku pada hari kedua himpunan, Mohd Azis menegaskan bahawa tiada penglibatan ahli parti dalam tindakan tersebut.
“Maklumat yang kami peroleh menunjukkan perbuatan itu dilakukan oleh pelajar sendiri. Kami percaya pihak berkuasa, khususnya Cawangan Khas, telah mengenal pasti individu-individu terlibat. Biarlah pihak berkuasa membuat pengesahan berdasarkan bukti,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kehadiran mana-mana ahli Warisan pada hari pertama adalah atas hak mereka sebagai warganegara.
“Adalah penting kita tidak mempolitikkan gerakan mahasiswa yang menyuarakan isu integriti dan tata kelola negara.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada mahasiswa UMS yang berani bersuara menentang rasuah secara bertanggungjawab dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Negara ini memerlukan lebih banyak suara masyarakat sivil yang bebas seperti Gerakan Mahasiswa UMS yang bertindak sebagai kuasa ketiga dalam semak dan imbang terhadap penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Menurut beliau, perjuangan menentang rasuah adalah tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia, bukan hanya ahli politik atau agensi penguat kuasa.